Uruskan Pentadbiran Dengan Cekap Supaya Tak Perlu Minta Bajet Tambahan: Khir

Shah Alam, 9 November- Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hendaklah menguruskan perbelanjaan pentadbirannya dengan lebih cekap pada masa depan supaya tidak perlu mengemukakan permohonan belanjawan tambahan seperti pada tahun ini.

Walaupun Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan berimbang RM1.3 bilion pada 2010, Dr Mohamad Khir (BN-Sungai Panjang) berkata kerajaan negeri telah membentangkan belanjawan tambahan berjumlah RM68 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) April lepas dan satu lagi permohonan belanjawan tambahan RM117 juta pada sidang DUN Julai lepas.

“Kini dalam sidang November ini, satu lagi peruntukan tambahan RM8 juta dipohon. Keseluruhan belanjawan tambahan tahun ini adalah RM194 juta,” katanya semasa membahaskan Bajet 2011 negeri Selangor pada persidangan DUN hari ini.

Secara keseluruhannya Bajet 2010 meningkat kepada RM1.49 bilion dan jika kerajaan negeri gagal meningkatkan pendapatannya, belanjawan negeri akan mengalami defisit sebanyak RM144 juta, kata bekas menteri besar Selangor itu.

Dr Mohamad Khir mempersoalkan mengapakah kerajaan Selangor tidak membentangkan bajet defisit sahaja daripada membentangkan belanjawan yang berimbang dan “kelihatan cantik daripada politik” tetapi pada setiap sidang, kerajaan negeri memohon belanjawan tambahan.

Beliau berkata apa yang dibimbangkan adalah bukan sahaja kerajaan negeri mengalami defisit iaitu RM65.9 juta pada 2009 tetapi pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mengalami defisit contohnya Majlis Bandaraya Shah Alam sebanyak RM1.3 juta dan Majlis Perbandaran Klang RM2.4 juta.

Dr Mohamad Khir mendakwa antara faktor penyumbang peningkatan belanja mengurus adalah kenaikan elaun anggota majlis dari RM500 ke RM700 sebulan dan  peruntukan pejabat kira-kira RM2,000 sebulan.

Mengenai Kerajaan Selangor mensasarkan pendapatan daripada pusat hiburan meningkat sehingga RM30 juta pada tahun hadapan, beliau berkata ia dilihat bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri mewujudkan masyarakat bermoral dan berakhlak tinggi.

Dr Mohamad Khir mendakwa sejak kerajaan Selangor ditadbir PKR, pusat-pusat hiburan, rumah urut, pub yang dicemari dengan aktiviti pelacuran meledak bak cendawan tumbuh selepas hujan sehingga merebak ke kawasan luar bandar termasuk Sabak Bernam, Sungai Besar dan Sekinchan.

“Ini bukan isu orang Islam kerana pusat-pusat seperti ini merosakkan remaja tanpa mengira bangsa mahupun agama. Malahan banyak keluarga bukan Islam hancur kerana suami lebih membuang masa bersama gadis-gadis di pusat hiburan ini.”

Dr Mohamad Khir berkata untuk menutup isu kejatuhan moral ini kerajaan negeri melancarkan kempen anti zina, yang hanya menjadi “bahan jenaka” di kalangan rakyat -MediaUMNO

Lagi Berita