Pertahan UMNO DiHina, ADUN Paloh DiGantung Hadiri Sidang Dewan Kelantan

KOTA BHARU 10 Nov. – Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Norzula Mat Diah hari ini digantung selama sehari daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kerana enggan mematuhi arahan Speaker apabila  cuba mempertahankan UMNO dihina oleh seorang wakil rakyat Pas.

Timbalan Speaker, Mohd. Zaki Ibrahim berkata, Norzula digantung kerana enggan mematuhi arahan speaker.

Nozula diperintah keluar dewan dan digantung sehari daripada menghadiri persidangan setelah enggan mematuhi arahan Mohd. Zaki yang memintanya supaya duduk bagi membolehkan Dr. Nik Mazian Nik Mohamed (Pas-Gaal) meneruskan perbahasan Bajet 2011 kerajaan negeri.

Insiden berlaku ketika Nozula bangun membantah perkataan yang dikeluarkan Abdul Fatah Harun (Pas-Bukit Tuku) yang  mengumpamakan UMNO seperti “najis dalam tandas” ketika mencelah perbahasan Dr. Nik Mazian.

Kata-kata Abdul Fatah menyebabkan Nozula bangun meminta Abdul Fatah menarik balik kenyataannya yang disifatkan sebagai menghina UMNO.

Suasana dewan menjadi “panas” apabila Abdul Fatah enggan menarik balik kata-katanya dan Mohd Zaki, yang cuba menenangkan keadaan dewan, menyifatkan apa yang dikatakan Abdul Fatah tidak menyalahi peraturan dewan.

Ini menyebabkan perang mulut antara Nozula dan Mohd Zaki, yang kemudiannya berang dengan keengganan Nozula duduk, lalu memerintahkannya keluar dewan.

Ketika ditemui di luar dewan, Nozula melahirkan perasaan sedih dengan penghinaan Abdul Fatah terhadap Umno.

“Apa yang dikatakan Bukit Tuku menimbulkan kemarahan dan menghina Umno seolah-olah Umno tidak berjasa. Saya sedih Umno dihina sebegitu rupa. Saya menerima arahan (timbalan) speaker yang menghalau saya,” katanya yang dilihat mengalirkan air mata.

Nozula berkata ini kali ketiga sepanjang beliau menjadi ADUN diperintah keluar dewan dan sekali digantung elaun.

Lagi Berita