Nik Aziz Punca Pas Kalut – Dr Samsul

KUALA LUMPUR 10 Okt  – “Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan) masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa Pas sebenarnya telah dipinggirkan oleh DAP dan PKR secara senyap seperti yang didedahkan oleh media baru-baru ini.

“Beliau perlu sedar, kerjasama yang diwujudkan dengan kedua-dua parti itu tidak membawa kelebihan kepadanya, apa yang berlaku telah menyebabkan  kepercayaan orang ramai kepada Pas telah mula pudar selepas pilihan raya ke 12 lalu,” kata Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi  Universiti Kebangsaan Malaysia,  ketika dihubungi umno-online.

Katanya, ketika diminta mengulas mengenai permasalahan yang dihadapi oleh Pas sejak mereka mengadakan hubungan dengan kedua-dua parti terbabit untuk menubuhkan pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat dalam usaha mereka menewaskan Barisan Nasional pilihan raya lalu.

Menurutnya, Pas kini telah lari dari asas perjuangan mereka sebelum ini iaitu memperjuangkan pemerintahan Islam di negara ini tetapi tidak mampu mempertahankan prinsipnya apabila mereka bergabung dengan Dap dan PKR.

Dr Samsul berkata, kekalutan yang berlaku ini berpunca dari Nik Aziz yang sanggup menghalalkan apa sahaja bagi memastikan perjuangan Pas terus diterima oleh rakan karibnya dalam pakatan pembangkang.

“Dulu mereka melaung-laungkan untuk memperjuangkan pemerintahan Islam di negara ini, tetapi apabila mereka bersama Dap dan PKR, nampaknya Pas bagaikan tidak mampu untuk mempertahankan perjuangan itu berikutan tekanan  dari rakan seperjuangan mereka dalam pakatan pembangkang.

“Ini dapat dilihat berlakunya perbezaan pendapat antara pas dan Dap terutama membabitkan Karpal Singh (Pengerusi Dap) dengan Nik Aziz apabila bercakap mengenai pemerintahan negara Islam.

“Sementara itu, kita lihat Anwar Ibrahim lebih cuba bermain tarik tali antara kedua parti ini, dia nampaknya cuba meredakan perbalahan antara kedua pemimpin ini dengan menjalan tengah yang mengatakan itu adalah pandangan peribadi. Ia sebenarnya khuatir akan merosakkan pakatan yang dibina untuk menawan Putrajaya akan terkubur sebelum PRU 13,” katanya.

Dr Samsul berkata, sikap Nik Aziz yang tidak mahu menerima teguran serta menghalalkan cara demi kepentingan politik menunjukkan beliau seorang yang ego walaupun apa yang dilakukan itu sebenarnya salah.

“Nik Aziz cuba menpotretkan dirinya sebagai Islam sedangkan apa yang dilakukannya banyak menimbulkan keraguan, UMNO dituduhnya kafir kerana berbaik dengan parti bukan Islam sedangkan dia melakukan perkara yang sama dengan Dap.

“Tindakan yang dilakukan itu menyebabkan timbulnya kesangsian di kalangan terutama mereka yang berada di atas pagar dan generasi muda, ini terbukti dalam pilihan raya kecil Galas. Kekalahan Pas berpunca daripada tidak ketentuannya prinsip dan perjuangan parti itu,” katanya.

Menurutnya, kekalutan yang berlaku dalam Pas berpunca dari sikap Nik Aziz yang banyak membuat sesuatu perkara atau kenyataan sehingga menimbulkan keraguan dan semua itu adalah betul dan tidak boleh disanggah.

“Nik Aziz merasakan dirinya hebat kerana apa yang dibuat tiada siapa yang membantah, Nik Aziz perlu sedar tidak semua yang dibuat itu betul dan semua orang menerima. Tidak semuanya bersetuju tetapi disebabkan jawatannya sebagai Mursyidul Am Pas, ramai yang mendiamkan diri.

“Gelaran Tok Guru kepadanya juga yang menyebabkan pengikutnya taksub dan sanggup mengiakan walaupun perkara itu salah,” katanya.

Lagi Berita