PBS Guna Formula Menang Besar Di Batu Sapi Hadapi PRU 13

PENAMPANG, 10 Nov – Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menggunakan formula kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini bagi meraih kemenangan besar bagi setiap kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata terdapat beberapa ramuan istimewa termasuk hubungan baik di kalangan parti komponen BN negeri yang perlu dicontohi bagi menarik sokongan rakyat.

“Semua parti komponen BN negeri telah bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan BN, malah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang bagi membantu pilihan raya kecil itu.

“Saya percaya kita boleh gunakan formula kemenangan ini bagi memenangi semua kerusi yang diperuntukkan bagi parti kita (PBS) termasuk merampas kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan dewan negeri Sri Tanjung (di Tawau) dari DAP dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita PBS di Hongkod Koisaan, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin dijadual merasmikan persidangan utama esok.

BN mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi apabila calonnya, Datin Linda Tsen Thau Lin dari PBS, memperoleh 9,773 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah dan Datuk Yong Teck Lee dari Parti Maju Sabah (SAPP) dengan majoriti 6,359 undi.

Tsen adalah balu Anggota Parlimen sebelum ini, Datuk Edmund Chong Ket Wah dari PBS, yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada 9 Okt.

Pairin berkata kemenangan ini menunjukkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan konsep 1Malaysia.

Sehubungan itu, beliau meminta perwakilan Pemuda dan Wanita PBS untuk meningkatkan usaha mereka mendapatkan anggota baru dan mengukuhkan jentera  pilihan raya dengan jangkaan satu pilihan raya mengejut akan diadakan.

Pada pilihan raya umum 2008, PBS sebagai satu daripada parti komponen BN negeri diperuntukkan 13 kerusi dewan negeri dan empat kerusi Parlimen tetapi hilang kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi dewan negeri Sri Tanjung kepada  DAP.

Pairin berkata PBS, yang ditubuhkan kira-kira 25 tahun lalu, akan terus lantang menyuarakan hak dan kepentingan rakyat dan negeri termasuk isu berkaitan masalah pendatang tanpa izin yang tidak berkesudahan, melalui hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat.

Beliau berkata apa yang disuarakan oleh sayap Pemuda dan Wanita PBS dalam persidangan ini akan beri perhatian.

Pairin berkata parti memahami dan mengakui peranan wanita dalam arena politik kerana mereka merupakan pengundi terbesar di negara ini.

Beliau berharap sayap wanita PBS di bawah kepimpinan Datin Jamilah Sulaiman dapat membantu meyakinkan pengundi wanita di negeri ini supaya menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Lagi Berita