PKR Parti Yang Cukup Busuk Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan pendedahan kemelut pemilihan oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub sebagai satu pembongkaran bangkai politik yang amat busuk yang perlu dijauhi rakyat terbanyak.

Tegasnya ratusan rekod yang tidak puas hati dengan sistem pemilihan yang dikatakan penuh penipuan adalah suatu yang memalukan kepada sebuah parti yang mencanangkan kononnya menjunjung keadilan dan ketelusan.

Malah katanya bilangan ahli yang yang mengundi untuk pemilihan PKR yang didakwa hanya membabitkan enam ribu ahli menunjukkan parti itu sudah kehilangan sokongan dari ahli-ahli mereka  sendiri.

“Dengan pendedahan Datuk Zaid dan Mustaffa Kamil Ayub itu, PKR sebenarnya adalah parti yang cukup busuk yang perlu dijauh rakyat.

“Apa lagi yang ada….tinggalkan saja PKR.  Parti serpihan itu untuk matlamat peribadi…dalam sejarah memang tak akan bertahan lama.  Parti jalanan yang dulu sibuk dengan laungan reformasi sekarang sibuk membaling kerusi, bukan parti yang patut dijadikan pilihan”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Justeru kata beliau pilihan terbaik adalah menyertai Barisan Nasional (BN) yang terbukti sebuah parti yang membangunkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Pastinya ahli-ahli PKR sekarang ini keluh kesah, gundah gulana…saya ingin mencadangkan agar mereka yang sudah muak, sudah bosan dengan PKR maka silalah masuk ke mana-mana komponen BN, UMNO dan lain-lain.

“Untuk pihak pimpinan PKR jika ingin masuk akan kami bincang dalam mesyuarat pengurusan dan  Majlis Tertinggi UMNO”, ujarnya.

PKR kata beliau lagi kini umpama retak menanti belah. Justeru sebelum kapal berlubang-lubang ini  karam, eloklah selamatkan diri.

“Tinggalkan nakhodanya yang Zaid sebut punyai masalah peribadi yang perlu dia perlukan selesaikan sendiri.

“Mari kita bantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bahtera 1Malaysia yang menuju kemakmuran untuk semua rakyat di kota dan desa, berdasarkan prinsip keadilan sebenar”, katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita