Suspek Tetak Ibu Hingga Mati DiPercayai Taksub Ilmu Makhluk Halus

PEKAN, 9 Nov – Lelaki yang bertindak menetak ibunya hingga mati dengan kapak dipercayai keliru dan taksub dengan ilmu berkaitan makhluk halus.

Menurut abang suspek, Rosli Halim, 33, suspek yang mesra dipanggil “cik” itu dilihat banyak belajar berkaitan perkara tersebut menerusi bacaan buku-buku berkaitan.

“Suspek pernah menyatakan hasrat untuk berubah menjadi seorang yang berpengetahuan agama kira-kira sebulan lepas. Dia selalu bercerita mengenai keinginan untuk belajar mengenai ilmu tarekat tetapi dia tidak mencari guru untuk belajar.

“Sebaliknya, dia banyak membaca buku-buku berkaitan makhluk halus. Apabila tidak faham sesuatu perkara, dia tidak pula cari guru,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pada kejadian 10.30 malam tadi, suspek dikatakan menetak ibunya, Che Wa Isa, 57, di bahagian kepala ketika wanita itu sedang mengangkat jemuran di berandah rumah.
Sementara itu bapa kepada suspek, Halim Ismail, 58, berkata sebelum kejadian isteri dan anak perempuannya baru pulang dari berniaga di kedai runcit mereka.

“Anak perempuan saya terus masuk ke dapur. Isteri dan anak lelaki pula berada di berandah rumah sebelum terdengar jeritan.  Sebelum itu anak lelaki saya yang dipanggil “Cik” itu pula baru pulang entah dari mana dengan menaiki kereta.
“Semasa kejadian itu, saya yang berada dalam rumah terdengar isteri menjerit dan bertakbir dua kali sebelum senyap. Kemudian saya lihat anak lelaki saya itu melarikan diri ke arah rumah jiran,” katanya.

Katanya, dia kemudian membawa isterinya itu ke Klinik Kesihatan Chini sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, tindakan anaknya itu mungkin ada hubungkait dengan pelajaran berkaitan makhluk halus yang dipelajarinya secara bersendirian.

Suspek kemudiannya berjaya diberkas pihak polis di sebuah pondok di belakang rumah jirannya yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian bersama kapak yang digunakan.

Lagi Berita