Puteri Gua Musang Tidak Mahu Leka Dibuai Kemenangan

GUA MUSANG, 11  Nov – Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dari Pas pada pilihan raya kecil minggu lalu, tidak melekakan Puteri UMNO Gua Musang menjalankan aktiviti utama pergerakan untuk menambah jumlah ahli dan pengundi di kawasan berkenaan.

Ketua Puteri UMNO Gua Musang, Nik Nora Hiryani Nik Mohd Yusoff  berkata kejayaan merampas semula Galas daripada pembangkang membuktikan rakyat telah kembali semula kepada BN berikutan kegagalan Pas melaksanakan janji-janji mereka pada PRU ke 12 lalu.

“Sememangnya kemenangan itu satu kejayaan yang harus dibanggakan, kita berjaya memperoleh majoriti yang besar,  tapi kita jangan leka kerana kemenangan itu juga menjadi tanggungjawab untuk dipertahankan.

“Selain melaksanakan segala janji, kita juga kena bantu wakil rakyat yang baru  (Abdul Aziz Yusoff) dan tidak boleh membiarkan beliau bersendiri, banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya ketika dihubungi umno-online.

Menurutnya, selepas bekerja keras pada membantu calon BN pada pilihan raya lalu,  Puteri UMNO kembali meneruskan aktiviti utamanya untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai UMNO dan mendaftar sebagai pengundi.

“Tahun ini sahaja kami sudah berjaya menarik lebik kurang 200 ahli baru, kira-kira 100 orang daripada sudah pun mendaftar sebagai pengundi, kebanyakan mereka terdiri golongan muda di sekitar Gua Musang.

“Sebelum hujung tahun ini, jumlah berkenaan akan meningkat dan sasaran kami yang utama adalah untuk mendaftar lebih ramai pengundi baru, “ katanya.

Menurutnya, ketika pilihan raya kecil lalu, selain membantu berkempen, Puteri UMNO turut mengenal pasti remaja dan mereka yang berkelayakan untuk didaftar sebagai pengundi baru dan seterusnya menjadi ahli UMNO.

“Ketika menjalankan kerja-kerja pilihan raya, kami juga sempat bertemu dengan ramai golongan remaja dan mengajak mereka supaya mendaftar sebagai pengundi dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Sebagai ahli UMNO kerja kami berterusan bagi memastikan BN akan menang pada pilihan raya umum nanti dan berjaya menawan semula Kelantan daripada pembangkang . Kemenangan di Galas ini menjadi pencetus semangat kepada kami,” katanya.

Nik Nora berkata, selain aktiviti menambah ahli, Puteri UMNO Gua Musang tetap terus menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama di kalangan keluarga susah.

Menurutnya, walaupun kekurangan dana dalam menjalankan aktiviti berkenaan, namun Puteri UMNO tetap bersemangat melaksanakan segala aktiviti yang dirancang kerana tidak mahu dikatakan membuat aktiviti secara bermusim.  -MediaUMNO

Lagi Berita