Terus Parah!! 24 Cabang PKR Protes Pemilihan

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Terus parah.  Kemelut pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) makin caca merba.

Selepas lantang dikritik dua calon jawatan Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub, semalam sekurang-kurangnya 24 ketua cabang PKR mendesak pucuk pimpinan menangguhkan pemilihan yang sedang berlangsung sehingga siasatan terhadap aduan membabitkan penyelewengan dan penipuan dilakukan.

Desakan dibuat menerusi konsensus Gabungan Cabang PKR yang antaranya membabitkan ketua cabang Putrajaya, Temerloh dan Rompin. Difahamkan jumlah sebenar cabang membuat desakan lebih banyak, namun ketua cabang enggan tampil menyokongnya secara terbuka.

Antara lain, mereka menuntut pucuk pimpinan memandang serius isu manipulasi serta penyelewengan pengurusan pemilihan pimpinan tertinggi PKR yang diadukan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin oleh Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub.

PKR mempunyai 220 cabang di seluruh negara dengan 87 daripadanya sudah mengadakan pemilihan pucuk pimpinan pusat parti.

Ketua Cabang Putrajaya, Onn Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan desakan itu dan menjangka lebih banyak cabang berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

Ketua Cabang Temerloh, Ahmad Nizam Hamid, pula berkata pemilihan semula wajar dibuat bagi membersihkan parti daripada sebarang penyelewengan dan berharap tuntutan itu diteliti secara serius kerana kemungkinan lebih banyak lagi cabang akan berbuat demikian.

Ketua Cabang Rompin, Rabidin Kasmawi, berkata pihaknya bersetuju usaha Gabungan Cabang PKR yang menuntut parti melihat isu kepincangan dalam pemilihan secara lebih serius.

Dalam perkembangan berkaitan, pembantu peribadi Datuk Zaid Ibrahim, Muhammad Firdaus Christopher, berkata bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat itu akan mengadakan program jelajah bagi memperjelaskan tindakannya menarik diri dan melepaskan semua jawatan selain menuntut Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Mohamed Azmin Ali mengundur diri.

Beliau berkata, peringkat permulaannya, sesi taklimat kepada penyokong diadakan Taman Intan, Sungai Petani, malam tadi yang dihadiri lebih 500 orang yang turut membabitkan sesi soal jawab mengenai perkembangan politik terkini dalam PKR.

“Selepas Kedah, Zaid akan ke Kelantan minggu depan, sebelum mengatur program jelajah sebenar. Program jelajah ini bukan untuk kepentingan peribadi kerana beliau sudah memberikan segala-galanya kepada parti dan orang perlu faham beliau bukan gila kuasa,” katanya.

Lagi Berita