Tiada Niat Pertikai Kesetiaan Bukan Melayu – Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Nov. – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau mempertikaikan kesetiaan dan integriti kaum bukan Melayu berhubung isu penyertaan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, beliau langsung tidak berniat berbuat demikian kerana sedar bahawa masyarakat bukan Melayu turut menganggotai ATM dan pasukan keselamatan lain bagi sama-sama mempertahankan negara.

“Saya tidak pernah menyatakan begitu. Jauh sekali berniat atau bermaksud sedemikian.

“Apa yang saya nyatakan, ia berkemungkinan disebabkan beberapa perkara yang antaranya adalah kerana semangat patriotisme belum cukup tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar The Star dan Guang Ming Daily hari ini memetik kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Ahli Parlimen DAP M. Kulasegaran yang menuduh Zahid mempertikai kesetiaan dan integriti kaum bukan Melayu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat semalam.

Kulasegaran yang mempertikaikan jawapan Zahid itu turut mendesak Zahid memohon maaf.

Bagaimanapun beliau membuat desakan tersebut sewaktu Zahid telah pun keluar daripada Dewan.

Beliau menambah, jawapan yang diberi turut menyelitkan kemungkinan lain termasuk kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat dalam ATM.

“Ia juga berkemungkinan kerana ganjaran yang kurang berbanding tawaran sektor swasta serta tiada galakkan keluarga dan kelompok etnik akibat pelbagai prasangka negatif,” katanya.

Lagi Berita