Anwar Marah Saya Lawan Azmin – Zaid

SUNGAI PETANI 11 Nov. – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat Parti Keadilan Rakyat ((PKR) , Datuk  Zaid Ibrahim berkata,  sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu, Anwar Ibrahim tiba-tiba sahaja menyerangnya secara peribadi termasuk dituduh sebagai ejen UMNO.

“Anwar  ‘takut dengan bayang-bayang’ sendiri. Dia sanggup mereka-reka cerita dan menyerang individu yang cuba menghalang anak emasnya, Azmin Ali daripada menggenggam jawatan nombor dua parti itu,” kata Zaid yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan.

Kata Zaid, beliau sendiri tidak mempunyai masalah dengan Anwar sebelum ini tetapi sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding melawan Azmin,  Anwar menyerangnya secara peribadi.

Zaid juga berkata, beliau akan menubuhkan parti politik baru sekiranya dikenakan tindakan pecat oleh pucuk pimpinan PKR.

“Kalau mereka pecat saya, maka saya kena buat (parti) Keadilan Baru. Takkanlah saya nak pencen dan balik nak jadi peguam, tua dah tak boleh.

“Apa yang saya cuba lakukan mungkin tidak berjaya sepenuhnya, tetapi ia memang menjadi hasrat saya dari awal,” katanya pada majlis dialog bersama lebih 100 ahli PKR dari kawasan Kedah Tengah di Pejabat PKR Taman Intan di sini malam tadi.

Bekas calon Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika diajukan soalan oleh salah seorang ahli parti tentang rancangannya sekiranya dikenakan tindakan pecat daripada PKR.

Menurut Zaid, adalah tidak menjadi satu masalah baginya jika dikenakan tindakan atas alasan mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presidennya, Azmin Ali berundur.

Ini kerana, katanya, beliau telah melakukan yang terbaik untuk mewujudkan sistem politik bersih dalam PKR, tetapi tidak dapat diterima oleh pucuk pimpinan.

Ditanya adakah masalah yang berlaku dalam PKR tersebut pernah dibincangkan secara dalaman, Zaid berkata, beliau pernah menjalankan sesi tegur menegur dalam biro politik.

Lagi Berita