Sikap Membisu Pas, DAP Dalam Kemelut PKR Bukti Pakatan Rapuh

BENTONG, 11 Nov – Tindakan berdiam diri Pas dan DAP selaku parti utama dalam pakatan pembangkang ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini kian bergolak jelas membuktikan tiada kerjasama antara mereka, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Malah, katanya, kemelut serta tuduh menuduh dalam PKR itu mendedahkan mereka bersendirian menghadapi masalah tanpa sokongan parti komponen lain.

Sehubungan itu, Hishammuddin mahu rakyat menilai haluan pakatan pembangkang dalam memperjuangkan nasib mereka seperti yang selalu dilaung-laungkan mereka.

“Dulu kalau MCA buat sesuatu (kesilapan), UMNO terpaksa jawab dan jika UMNO dilihat melakukan sesuatu yang tidak kena, MCA kena jawab pula.

“Itulah fahaman yang telah konsisten selama ini dalam BN dan hari ini saya nak tanya DAP dan Pas, apa pendirian dan apa pandangan dan hujah mereka dan penelitian mereka di mana sokongan mereka dalam kemelut yang berlaku dalam PKR sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Kompleks Penjara Bentong yang disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata anggota BN diharapkan tidak terikut-ikut dengan cara pembangkang yang banyak menuding jari kepada pihak lain sedangkan masalah itu dicipta pihak mereka sendiri.

Katanya BN dan parti komponennya perlu terus bekerja keras seperti yang dilakukan sejak dulu terutamanya dalam situasi di beberapa negeri yang dilanda bencana banjir di mana perhatian kerajaan amat diharapkan oleh mangsa-mangsa banjir.

“Bukan kita nak gah atau tepuk dada tuding jari kepada pembangkang tapi apa yang penting kita turun ke bawah seperti yang dilakukan kawan-kawan kita di kawasan banjir,” katanya.

Lagi Berita