Jangan Biarkan Diri Terus Diperalatkan, Berhenti Jadi Pemuja Anwar

KUALA LUMPUR, 15 Nov –  Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kassim menasihatkan agar saki baki pemimpin dan penyokong PKR yang sebelum ini menjadi pemuja Anwar Ibrahim agar segera sedar dan tidak membiarkan diri terus menerus diperbodoh dan diperalatkan.

Jelasnya golongan pemuja ini sebenarnya sedang diperdaya oleh Anwar yang kononnya selama ini menonjolkan diri sebagai pejuang rakyat, pejuang agama, pejuang demokrasi dan keadilan.

“Cukuplah dari terus menjadi pemuja Anwar dan terpukau dengan cahaya fatamorgana.

“Golongan ini tidak sepatutnya menjadi mangsa seterusnya seperti mana yang berlaku kepada ramai pemimpin PKR sebelum ini termasuk yang terbaru Datuk Zaid Ibrahim”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang berkemungkinan mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR.

Seminggu selepas menarik diri daripada pertandingan jawatan timbalan presiden PKR, Zaid dilaporkan telah bersedia meninggalkan parti itu kerana sudah meluat dengan pemimpinnya.

Zaid membuat kenyataan ini kerana mahu menjauhkan diri daripada penipu dan pembohong.

“Saya tidak lagi mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menaburkan fitnah dan sanggup menipu semata-mata untuk tujuan peribadi mereka,”  kata Zaid.

Meskipun menganggap tindakan Zaid itu sudah terlambat, Ruslan percaya Zaid juga sebenarnya terpedaya dengan lakonan Anwar dan kuncu-kuncunya.

Tambah beliau lagi apa yang berlaku terhadap Zaid sepatutnya menyedarkan lebih ramai lagi pemuja Anwar agar tidak terus menjadi mangsa politik tipu dayanya.

“Dulu ketika Zaid masuk PKR dan diangkat menjadi calon PKR untuk pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor, dia dilabelkan Anwar sebagai pejuang sejati yang mempunyai prinsip yang tinggi.

“Sekarang tengok apa yang mereka lakukan kepada Zaid…tak ubah seperti sampah.  Kalau orang macam Zaid pun boleh diperlakukan sedemikian rupa apatah lagi pemuja-pemuja lain yang sebenarnya hanya digunakan untuk menjayakan misi peribadi Anwar”, ujarnya.

Justeru beliau berharap agar pemuja Anwar ini sedar seperti kata pepatah sesat di hujung, pulang semula ke pangkal jalan. -MediaUMNO

Lagi Berita