Kerajaan Sedia Timbang Peristiwa 13 Mei Diingati

YOKOHAMA,  15 Nov. – Kerajaan sedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan peristiwa hitam 13 Mei sebagai hari yang diperingati, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan setakat ini belum lagi menerima cadangan atau memikirkan soal itu.

Muhyiddin berkata, daripada laporan blog yang dibacanya sesetengah pihak melihat peristiwa itu satu titik hitam manakala dalam perspektif berbeza ada yang menyifatkannya sebagai baik seperti diamalkan oleh banyak negara,

“Di sesetengah negara hal-hal seperti ini dilihat dalam perseptif berbeza, tidak melihat kepada perkara negatif tetapi sebagai usaha untuk meningkatkan kerjasama, perpaduan dan mengelakkan perselisihan.

“Apa pun kita serah kepada pihak-pihak tertentu kalau mereka fikir ini satu yang baik, kerajaan boleh timbangkan,” katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan ’13 Mei’.

Walaupun cadangan itu dibantah oleh pakatan pembangkang yang membuat laporan polis kerana menyifatkannya sebagai hasutan tetapi ramai pihak menyokongnya kerana ia langkah positif untuk mengukuhkan perpaduan.

Lagi Berita