Ngeh, Nga Menang, Kulasegaran Gagal Pertahan Jawatan Timbalan Pengerusi DAP

IPOH 14 Nov. – Timbalan Pengerusi DAP Perak M. Kulasegaran gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan sempena Konvensyen DAP Perak di sini Ahad.

Hanya seorang penyokongnya iaitu bendahari DAP Perak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jalong Leong Mee Meng yang terpilih dalam senarai 15 anggota jawatankuasa negeri.

Sebanyak 41 calon menawarkan diri pada pemilihan berkenaan.

Kulasegaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat bagaimanapun dilantik sebagai salah seorang Naib Pengerusi DAP Perak.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham mempertahankan jawatannya bersama dengan Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming.

V.Sivakumar, Adun Tronoh yang juga bekas Speaker DUN Perak semasa pakatan pembangkang memerintah sebelum ini terpilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Sebanyak 961 perwakilan menyertai pemilihan yang berlangsung di sebuah hotel di sini. Jumlah keseluruhan perwakilan yang sepatutnya mengundi ialah sebanyak 1,228 orang.

Lagi Berita