Pemuda, Giat Mara Beri Servis Motor Percuma Bantu Mangsa Banjir

ALOR SETAR, 15 Nov – Pemuda UMNO Kedah dengan kerjasama Giat Mara hari ini mengadakan servis motor percuma kepada mangsa banjir negeri itu dalam usaha membantu meringankan beban mangsa bencana alam berkenaan.

Ketua Pemudanya, Badrol Hisham Hashim berkata khidmat servis berkenaan diadakan serentak di tujuh bahagian yang dilanda banjir baru-baru ini dan sambutan yang diterima cukup memberangsangkan di mana penduduk setempat mengambil kesempatan menghantar motor yang ditenggelami air untuk dibaikpulih.

Menurut beliau usaha berkenaan adalah sebagai tanda prihatin pergerakan itu terhadap mangsa banjir dan inisiatif berkenaan adalah peringkat permulaan selepas keadaan banjir kembali pulih di negeri berkenaan.

“Selepas hari raya Aidiladha nanti, kita juga akan meneliti beberapa bentuk khidmat masyarakat lain seperti menyelenggara pendawaian eletrik di rumah-rumah yang ditenggelami air baru-baru ini.

“Khidmat ini juga akan turut melibatkan kerjasama daripada pelajar-pelajar Giat Mara dan kita akan meneliti rumah-rumah yang memerlukan penyelenggaraan secara percuma ini di kawasan yang ditenggelami air.

“Kita akan pilih rumah-rumah tertentu dan bukannya semua kerana kita akan berpandukan kepada syarat-syarat yang akan melayakkan mereka mendapat khidmat secara percuma ini,” katanya  di sini, hari ini.

Beliau seterusnya  berharap warga korporat dan syraikat-syarikat gergasi di negara ini dapat menghulurkan khidmat sosial mereka untuk membantu mangsa banjir ini.

“Bagi Pemuda Kedah, ini adalah inisiatif yang kita mampu laksanakan dan mungkin ada lagi pihak lain yang akan membantu daripada sudut tertentu yang secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada bentuk bantuan sedia ada.

“Insyaallah, jika keadaan dan situasi mengizinkan beberapa bentuk bantuan lain akan menyusul dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir terlibat,” katanya.

Tujuh bahagian yang terlibat dengan khidmat masyarakat Pemuda UMNO Kedah dan Giat Mara ialah Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Star, Pendang, Kuala Kedah dan Jerlun. -MediaUMNO

Lagi Berita