Status Zaid Tidak Penting, Beri Perhatian Wajah Sebenar PKR

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata persoalan sama ada Datuk Zaid Ibrahim keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau tidak bukan isu utama yang perlu diberi perhatian.

Sebaliknya tegas beliau apa yang paling penting dalam episod Zaid ini adalah membuktikan PKR bukan parti yang menjunjung keadilan, ketelusan dan kebenaran sebagaimana yang mereka war-warkan.

“Sama ada Zaid Ibrahim keluar PKR atau tidak ia bukan isu utama kepada kita…terpulanglah kepada dia.

“Apa yang penting apa yang berlaku ke atas Zaid membuktikan PKR bukan parti yang menjunjung keadilan, ketelusan dan kebenaran sebagaimana yang mereka war-warkan. Itu sudah cukup untuk rakyat menjauhkan diri daripada memberi sokongan kepada parti caca merba dan porak peranda ini”,  katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Pada masa yang sama kata beliau lagi kemelut yang melanda juga memberi petanda yang penting agar penyokong PKR segera meninggalkan parti itu.

“Umpama kapal yang berlubang-luang, tinggalkan segera sebelum terbalik…Nakhoda kapal PKR penuh masalah”, ujarnya.

Sebenarnya tambah beliau UMNO dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya  menjadi pilihan rakyat kerana kerajaan yang ada pada hari ini mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

“Contohi pengundi Galas dan Batu Sapi yang majoriti mereka bijaksana membuat pilihan.

“Percayalah PKR parti  serpihan untuk perjuangan individu tidak akan bertahan lama”, katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita