Anwar Layak Terima Anugerah “Grammy Award” – Idris Haron

KUALA LUMPUR 16 Nov – Kemelut yang berlaku dalam PKR sehingga menyebabkan calon Timbalan Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim menarik diri dari pertandingan merebut jawatan berkenaan membuktikan bahawa parti berkenaan sebenarnya didominasi oleh Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Idris Haron menyifatkan Anwar sebagai seorang pelakon yang berjaya membawa pelbagai watak sehingga menyebabkan ramai yang terpedaya dengan lakonannya di atas pentas politik.

“Anwar layak menerima anugerah `Grammy Award’ sebagai pelakon terbaik kerana kejayaannya  melakonkan apa jua watak termasuk memanipulasi sesiapa sahaja bagi meneruskan agenda politik peribadinya tercapai.

“kita lihat apa yang berlaku sekarang orang yang dahulu menyanjung tinggi Anwar, kini mula menempelaknya berikutan sikapnya itu yang tidak konsisten, malah sanggup melakukan apa sahaja bahi memastikan cita-cita peribadinya berjaya,” katanya kepada umno-online.

Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pergolakan yang berlaku dalam PKR sehingga menyebabkan Zaid membuat keputusan untuk keluar daripada PKR serta kenyataan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang membidas Anwar.

Raja Petra dalam kenyataan yang disiarkan media semalam membidas Anwar kerana menuduh Zaid sebagai pengacau serta Kuda Trojan di dalam PKR, sedangkan menurut Raja Petra, Anwar sebenarnya pengacau dan Kuda Trojan ketika berada di dalam UMNO suatu ketika dahulu.

Menurut Idris, jika Raja Petra yang dulu menjadi kuda tunggangan Anwar untuk memburuk-burukkan kerajaan, berani membidas serta menyelar idolanya itu, terbuktilah bahawa Anwar itu adalah individu yang hanya memikirkan untuk kepentingan peribadi dan bukannya sebagai pejuang atau pembela kepada rakyat.

“Sekarang terserlah siapa sebenarnya Anwar Ibrahim, seorang yang suka bersandiwara untuk mendapat simpati sehingga ramai yang terpedaya dengannya, lakonannya menyebabkan ramai yang bersimpati dengannya.

“Tetapi Anwar akan berubah wajah, kepada sesiapa sahaja yang cuba membayanginya, dia akan memastikan orang itu akan terpinggir melalui pelbagai cara seperti yang berlaku pada Zaid Ibrahim dalam pemilihan PKR,” katanya.

Katanya lagi, Zaid menjadi mangsa kerana cuba mengingkari telunjuk Anwar apabila menentang anak emasnya, Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Anwar ni cakap tak serupa bikin, dahulu dia kata tak akan mencampuri urusan pemilihan parti tetapi apabila melihat anak emasnya (Azmin) dicabar oleh Zaid, dia mula memainkan peranan dengan mengatur strategi bagi memastikan perancangannya itu tercapai.

“Apa yang berlaku dalam PKR itu semuanya perancangan Anwar, walaupun dia tidak menjadi presiden parti tetapi kuasanya melebihi kuasa presiden, mana ada seorang penasihat yang mempunyai kuasa seperti presiden seperti yang berlaku dalam PKR,” katanya.

Idris berkata, Anwar adalah seorang yang retorik dan pandai memanipulasi keadaan, tetapi apa yang diperkatakan itu sebenarnya adalah kosong belaka hanya sekadar untuk mendapat perhatian bagi menunjukkannya seorang hebat sedangkan penuh dengan tipu helah.  -MediaUMNO.

Lagi Berita