‘Dahulukan Rakyat’ Slogan Baru UMNO

KOTA TINGGI 15 Nov. – ‘Dahulukan Rakyat’ dipilih sebagai slogan baru UMNO bagi menggantikan ‘Dulu, Kini dan Selamanya’ supaya relevan dengan suasana dan perkembangan semasa negara.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, slogan ‘Dulu, Kini dan Selamanya’ yang diguna pakai sejak sekian lama kini akan menjadi sejarah selepas pemilihan slogan baru itu.

Menurutnya, slogan ‘Dahulukan Rakyat’ dianggap lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan parti bagi perjuangan akan datang.

“Slogan tersebut adalah tema yang paling sesuai seperti model transformasi yang telah dinyatakan oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Peti Undi Parlimen Pengerang di Dewan Serbaguna Felda Semenchu, dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya, Datuk Harun Abdullah.

Lagi Berita