Hampir 2.5 Juta Jemaah Haji Wukuf Di Arafah

MAKKAH 15 Nov. –  Kira-kira 2.5 juta jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia termasuk 26,000 dari Malaysia wukuf di Arafah, semalam iaitu kemuncak dalam ibadah haji dalam suasana cukup harmoni dan syahdu.

Cuaca kering, tetapi tidak terlalu panas dengan suhu mencecah 34 hingga 35 darjah Celsius melegakan umat Islam di tanah suci Makkah untuk sedia berhimpun di padang Arafah.

Jemaah mula berangkat ke Arafah dengan bas kira-kira 21.9 kilometer (km) dari Makkah sejak jam 11 pagi semalam waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia) mengikut jadual yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi di bawah kawalan ketat.

Ada laporan agensi berita menyebut angka jemaah pada musim 1431 Hijrah ini mencecah tiga juta orang.

Jemaah berada di Arafah sehingga Zuhur dan berangkat ke Mudzalifah selepas Maghrib untuk mengutip batu kecil bagi tujuan melontar jamrat di Mina pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Jemaah haji Malaysia yang diuruskan Lembaga Tabung Haji (TH) dan pihak Muasassah berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Malam tadi mereka menghabiskan masa dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT.

Pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi buat pertama kali memperkenalkan Global Broadcast System (GBS) mengandungi pelbagai maklumat dan risikan mengenai isu keselamatan dan cuaca pada musim haji ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut berada Arafah meninjau dan melihat keadaan jemaah Malaysia di khemah.

Lagi Berita