Pergolakan PKR Tidak Memeranjatkan – Shahrizat

KUALA LUMPUR, 17 Nov  – Pergolakan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak memeranjatkan kerana sebahagian besar anggotanya telah hilang kepercayaan terhadap pemimpin tertinggi parti itu, kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua Wanita UMNO itu berkata pemimpin tertinggi PKR dilihat seolah-olah tidak mempunyai matlamat perjuangan, sebaliknya hanya berkepentingan peribadi dan keluarga.

“Apabila PKR ditubuhkan dulu, ia tidak ada ideologi, perjuangan untuk Negara dan rakyat. Ia ditubuh berlandaskan untuk individu tertentu untuk jadi perdana menteri, sebab itu pada hari ini tak sampai berapa tahun kita tengok hampir berkecai.

“Saya percaya bahawa rakyat Malaysia mampu untuk menghitung apa yang sedang berlaku, dan saya percaya mereka tahu siapa yang akan mereka pilih pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Korban anjuran Umno Bahagian Kepong di kawasan perumahan sementara Jinjang Utara di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan PKR berikutan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti tersebut yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan calon yang bertanding serta perletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim.

Shahrizat berkata pemilihan MPP PKR dilihat sebagai pemilihan ‘caca marba’ dan sesiapapun yang dipilih, tidak akan mendapat kepercayaan anggota parti berkenaan berikutan apa yang telah berlaku.

“PKR terlalu rapuh, macam mana nak jadi kerajaan kalau nak uruskan pemilihan dalam partipun dah kecoh begini, macam mana nak takbir rakyat dan negara?,” katanya.

Beliau berkata ramai yang berpendapat pemilihan itu adalah “pemilihan yang main-main”.

“Daripada apa yang saya baca dalam akhbar dan blog, siapa yang menang adalah tidak hebat sebab mereka ‘cannot be taken seriously’,” katanya.

Mengenai Zaid, Shahrizat berkata: “Saya ingat bolehlah tahan satu penggal, ini setengah penggalpun dah berkecai.”

Lagi Berita