Anwar Terus Bersuara Sumbang Perlekeh Malaysia – Najib

PUTRAJAYA 17 Nov. – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan Malaysia sebuah negara Islam moden merupakan suara sumbang yang tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata-kata kejian daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanyalah suara minoriti yang bercanggah sama sekali dengan pengiktirafan para pemimpin dunia terhadap kejayaan Malaysia.

”Ia satu suara sumbang sebenarnya dan tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia dan pandangan terhadap Malaysia, itu yang saya dapat simpulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi perbualan video dengan perwakilan pelajar Malaysia di luar negara di kediaman Seri Perdana di sini pagi ini.

Perdana Menteri mengulas dakwaan Ketua Pembangkang itu bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia, Julia Gillard supaya memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.

Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia, Julia Gillard supaya memberi tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.

Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia kelmarin dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.

“Mereka (kerajaan Gillard) tidak boleh hanya pergi ke Malaysia dan berkata, ‘ini adalah negara Islam moden yang bagus’. Saya menganggap ia sebagai penghinaan,” katanya seperti dipetik daripada laman berita The Australian hari ini.

Penghinaan yang disifatkan oleh Anwar itu dipercayai merujuk kepada pengiktirafan Gillard terhadap kemajuan negara semasa melakukan sesi lawatan rasmi ke Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usahanya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia.

Najib  juga  gembira dengan momentum positif ekonomi negara sehari dua ini yang akan membolehkan Malaysia mencapai kadar pertumbuhan sekurang-kurangnya tujuh peratus tahun ini.

Perdana Menteri berkata, petunjuk-petunjuk positif terbaru dalam Bursa Malaysia, kedudukan mata wang Ringgit serta kadar pertumbuhan menggambarkan keyakinan semua pihak terhadap hala tuju kerajaan.

”Perkembangan di Malaysia pada sehari dua ini adalah sangat positif berdasarkan segala petunjuk ekonomi negara, kita dijangka mencapai sekurang-kurangnya tujuh peratus tahun ini.

”Bursa Malaysia telah mencapai tahap pencapaian tertinggi dalam sejarah manakala nilai mata wang kita semakin kukuh dan merupakan antara mata wang dengan prestasi terbaik.

”Begitu juga kemampuan kita dari segi indeks persaingan dan beberapa indeks lain yang diukur oleh badan-badan antarabangsa, negara kita memperlihatkan perkembangan yang semakin nyata,” katanya.

Najib berkata, perkembangan ekonomi yang positif menunjukkan keyakinan masyarakat domestik dan antarabangsa terhadap segala perancangan kerajaan.

”Petunjuk-petunjuk ekonomi yang positif tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa bersandarkan kepada keyakinan, keyakinan pula tidak berlaku dengan sendirinya.

”Pasaran adalah sangat kritikal dan jika mereka tidak percaya kepada hala tuju, agenda, dasar dan perancangan kerajaan, maka tidak mungkin mereka berasa yakin terhadap Malaysia,” katanya.

Lagi Berita