Cuaca Sejuk Awal Pagi Tak Halang Pelajar Luar Negara, PM Berinteraksi

PUTRAJAYA 17 Nov. – Cuaca sejuk yang mencecah bawah paras beku tidak menghalang para pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara berkumpul seawal pukul 4 pagi ini demi berinteraksi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui perbualan video.

Disebabkan perbezaan waktu, pelajar Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum itu terpaksa bangun pada awal pagi dan meredah cuaca sejuk untuk mencapai hasrat bersemuka dengan Perdana Menteri.

Mereka yang ketika ini menuntut di Ukraine, Ireland, Rusia, Perancis, Jepun dan China itu turut mengucapkan selamat Hari Raya Aidildha kepada Perdana Menteri dengan menggunakan pelbagai bahasa termasuk Rusia, Mandarin dan Perancis.

Ketika program perbualan video secara langsung yang dilakukan di kediaman Seri Perdana di sini, Najib mengambil kesempatan tersebut untuk bertanya khabar serta mengingatkan para pelajar supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu.

”Saya berharap pelajar akan timba segala ilmu bukan sahaja dari segi akademik tetapi merangkumi pembentukan sahsiah, pembinaan watak dan kemahiran personal.

”Kita ingin terus membangunkan daya saing negara serta daya persaingan kita bergantung kepada kualiti modal insan, tiada yang lebih penting daripada modal insan.

”Modal insan pula perlu bersandarkan kepada kekuatan intelek, kemahiran, etika kerja dan kemahiran peribadi yang merangkumi penguasaan bahasa dan kebolehan berkomunikasi,” kata Perdana Menteri kepada pelajar Malaysia berkenaan dalam sesi perbualan video selama 45 minit itu.

Najib berkata, pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara bakal memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan negara.

”Pelajar antarabangsa merupakan kelompok masyarakat kita yang sangat istimewa kerana saudara-saudari mempunyai peluang menimba ilmu di luar negara.

‘Dengan peluang yang diberikan, saudara-saudari merupakan golongan yang bakal memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah pula mengingatkan pelajar Malaysia supaya pulang berkhidmat di Malaysia selepas tamat pengajian di luar negara.

”Jangan lupa pulang, jangan lupa negara dan ibu bapa yang sedang menunggu anda (pulang) di sini,” katanya.

Lagi Berita