Kereta Rempuh Treler, Empat Terbunuh Nahas Balik Raya

SLIM RIVER 17 Nov. –  Hasrat satu keluarga untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung dan untuk melangsungkan majlis berkhatan tiga anak lelaki, tidak kesampaian apabila empat daripada mereka iaitu pasangan suami isteri dan dua anak kembar mereka maut, manakala dua lagi anak mereka cedera selepas kereta dinaiki dirempuh treler, malam kelmarin.

Yang terbunuh ialah pasangan suami isteri, Shaiful Fadzilah Shahar, 36, dan Siti Suzana Mohd Nor, 33, masing-masing bekerja sebagai kerani di syarikat pengangkutan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, serta anak kembar mereka dikenali Fitri dan Fikri, 6.

Anak sulung pasangan itu, Firdaus, 8, terseliuh kaki dan dirawat di Hospital Slim River, manakala yang bongsu, Fatihah, empat tahun melecur di tangan kiri serta badan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kemalangan berlaku di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Slim River, jam 11.59 malam ketika mereka dalam perjalanan dari Labu, Seremban ke rumah bapa Shaiful Fadzilah, iaitu Shahar Mohd Ariffin di Lenggong bagi menyambut Aidiladha dan majlis khatan ketiga-tiga anak lelaki Allahyarham.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Deputi Superintendan Anuar Osman, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara yang dipandu Shaiful Fadzilah dirempuh dari belakang oleh sebuah treler sehingga menyebabkan kereta mangsa terlanggar kereta di hadapan hingga remuk dan tersepit.

“Kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan treler itu dipercayai dipandu laju dan gagal berhenti ketika kenderaan lain bergerak ke susur keluar Slim River.

“Shaiful Fadzilah, Siti Suzana dan Fitri yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Fikri pula meninggal di Hospital Slim River,” katanya di sini, semalam.

Di HRPB, semalam Fatihah dalam keadaan stabil, tetapi masih trauma dengan kejadian itu.

Ibu saudaranya, Nor Azizah Shahar, 23, berkata, Fatihah masih tidak mengetahui berita kematian kedua ibu bapa dan dua abang kembarnya.

“Selepas diberi rawatan, Fatihah hanya mampu menangis dan memanggil mama serta abah setiap kali terjaga. Keadaannya masih lemah dan terkejut. Saya redha dengan kehilangan abang sulung (Shaiful Fadzilah), kakak ipar dan dua lagi anak saudara… cuma terkilan kerana tidak sempat menyambut raya bersama mereka,” katanya.

Nor Azizah berkata, arwah abangnya merancang mengadakan majlis berkhatan untuk ketiga-tiga anak lelaki mereka iaitu Fitri, Fikri serta Firdaus sempena cuti sekolah ini.

Lagi Berita