Penyerahan Tugas PGA, ATM Tidak Bermotif Politik

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Penyerahan 89 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA) kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak bermotifkan politik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu adalah ikhlas demi keselamatan dan pertahanan negara, sekali gus menjayakan transformasi kerajaan memantapkan negara ini.

Menurut beliau, kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri telah bersetuju menjalin kerjasama demi kepentingan negara, langsung tidak menjadikan agenda politik sebagai matlamat peralihan tugas.

“Peralihan tugas semata-mata bagi mengawal pos sempadan dan memberikan polis tugas untuk mengurangkan jenayah di kawasan luar sempadan terutama di bandar-bandar.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan rakyat dalam usaha membanteras jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tanggapan segelintir pihak yang menganggap tindakan itu bermotifkan politik yang bertujuan menambah undi tentera di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

Bermula semalam, kesemua 89 pos kawalan sempadan termasuk perairan negara di seluruh Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dikawal oleh PGA diserahkan kepada ATM selama enam bulan.

Pengambilalihan itu bertujuan memindahkan lebih 500 anggota PGA yang bertugas di situ ke negeri-negeri hotspot iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bharu untuk menurunkan indeks jenayah dan jenayah jalanan.

Ahmad Zahid kecewa dengan pemikiran golongan terbabit yang mempolitikkan segala tindakan kerajaan tanpa memikirkan soal keselamatan dan pertahanan negara.

“Minda mereka sentiasa bersangka buruk terhadap apa jua usaha kerajaan untuk melakukan perubahan bidang tugas antara pasukan tentera dan polis,” katanya.

Lagi Berita