Perkukuh Jalinan Persaudaraan

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru umat Islam di negara ini supaya memperkukuhkan jalinan persaudaraan dan perpaduan tanpa mengira perbezaan harta, pangkat, bangsa, budaya mahupun ideologi politik.

Sejajar dengan sambutan Aidiladha, Timbalan Perdana Menteri pada masa sama turut meminta umat Islam melakukan muhasabah diri dengan cara meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Dalam konteks negara pula, beliau mahu seluruh rakyat menghayati pengorbanan yang dilakukan pejuang-pejuang terdahulu dalam usaha mereka mewujudkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan negara.

”Hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersedia melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang boleh membuatkan umat Islam di Malaysia muncul sebagai umat contoh.

”Hanya dengan menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta bersedia melakukan pengorbanan demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang boleh membuatkan umat Islam di Malaysia muncul sebagai umat contoh.

”Iaitu umat yang menjadi paksi kepada kekuatan tamadun Islam dan cerminan kepada kemurnian agama Islam sebagai satu-satunya agama di sisi Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Aidiladha yang dikeluarkan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dalam perutusannya turut menyarankan umat Islam supaya menggunakan kesempatan perayaan Aidiladha yang penuh keberkatan ini untuk menilai mengenai sumbangan yang telah dicurahkan kepada negara.

”Kita juga perlu menilai apakah sumbangan yang boleh kita berikan kepada pertiwi demi mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang kita nikmati selama ini,” katanya.

Berhubung ibadat haji, beliau berkata, ibadat tersebut melambangkan kesaksamaan dan perpaduan dalam Islam yang merentasi perbezaan bangsa dan warna kulit.

Katanya, di sebalik litupan ihram yang meleburkan tembok harta dan pangkat, tiada apa-apa lagi dapat membezakan seorang muslim dengan muslim lain kecuali tingkat keimanan serta ketakwaan kepada Allah.

Muhyiddin dalam pada itu mengajak umat Islam di Malaysia menghayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai panduan untuk muncul khaira ummah atau umat terbaik di sisi Allah.

”Di kesempatan ini saya juga mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan yang sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga keselamatan negara bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat terus mengecapi keamanan serta kemakmuran,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada mereka yang pulang ke kampung supaya memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang jalan raya demi kebaikan semua.

”Dengan semangat 1Malaysia, diharap cuti Aidiladha ini digunakan untuk menziarahi keluarga dan sahabat handai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Lagi Berita