Dedah Segera Hasil Siasatan Ke Atas Nik Aziz, Menantu

KOTA BHARU 18 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus didesak supaya mendedahkan segera hasil penyiasatan mereka ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin berkata, SPRM sepatutnya mengambil kira rungutan di kalangan masyarakat yang ingin tahu tentang hasil siasatan ke atas Nik Abdul Aziz dan menantunya.

“Semalam pun ada keluar rungutan pembaca dalam akhbar Utusan Malaysia yang mahukan penjelasan tentang perkembangan siasatan.

“Itulah yang kita harapkan agar SPRM dapat memberi kata putus dalam soal siasatan ini sama ada kes itu dapat kita bawa ke mahkamah atau sebaliknya kerana rakyat ingin tahu.

“Benda (siasatan) ini sudah menjadi pengetahuan umum jadi kita mahu SPRM dedahkan sama ada boleh didakwa atau tidak,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Korban Hari Raya Aidiladha Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin menyiarkan pendapat seorang pembaca, Abu Hassan Abdul Aziz dari Gua Musang bertajuk Umum hasil siasatan ke atas Nik Aziz, Ariffahmi yang meminta SPRM menjelaskan perkembangan terkini beberapa siasatan mereka di negeri ini termasuk ke atas Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantu beliau, Abdul Ariffahmi.

Dalam laporan hari ini pula, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Zahari Kechik tidak mahu SPRM terus berdiam diri tentang hasil siasatan ke atas individu berprofil tinggi seperti Nik Abdul Aziz kerana persepsi negatif yang akan timbul bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga individu yang disiasat.

SPRM pada hujung tahun lalu membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji bernilai RM65,000.

Pada majlis korban tersebut, sebanyak 16 ekor lembu telah dikorbankan hasil sumbangan parti dan ahli korporat di mana lebih 1,300 kilogram daging diagihkan kepada 1,300 penerima dalam kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.

Dali berkata, sebanyak lapan ekor lembu sudah dikorbankan pada hari raya pertama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka semalam, manakala enam ekor lagi akan dikorbankan esok di DUN Kijang.

Lagi Berita