MB Tahu Belanja Sebenar – Noh Omar

TANJONG KARANG, 19 Nov – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Noh Omar mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetahui perbelanjaan sebenar penganjuran majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor yang dikatakan mencecah RM800,000.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Khalid yang mengatakan beliau tidak mengetahui perbelanjaan sambutan tersebut sebenarnya menimbulkan keraguan banyak pihak.

Katanya, Abdul Khalid merupakan Pengerusi Yayasan Selangor dan sudah tentu Menteri Besar itu sedia maklum tentang perancangan yang dibuat oleh yayasan berkenaan termasuk perbelanjaan sebenar menerusi mesyuarat lembaga pengarahnya.

“Sebagai Pengerusi yayasan itu beliau mesti tahu berapa banyak yang dibelanjakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Galeri Inovasi dan Teknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Stesen Tanjong Karang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid yang memintanya menyerahkan bukti mengenai perbelanjaan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 13 November lalu, Noh dalam satu sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor mendedahkan perbelanjaan sebenar Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor yang sepatutnya diadakan di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur 15 November lalu melibatkan kos perbelanjaan RM800,000 dan bukannya RM300,000 yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

Menurut Noh, jumlah RM300,000 itu hanyalah sebahagian daripada perbelanjaan yang dibuat oleh Yayasan Selangor sebagai bayaran pendahuluan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam penganjuran majlis sambutan tersebut.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk peruntukan yang dianggarkan RM500,000 lagi untuk sambutan berkenaan yang dikatakan telah diluluskan sebagai peruntukan tambahan.

Dalam pada itu, Noh turut menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Selangor telah membuat laporan kepada SPRM mengenai perbelanjaan tersebut di Putrajaya hari ini.

“Jadi kita serahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku penyelewengan atau sebagainya yang melibatkan Yayasan Selangor,” ujarnya. Utusan/MediaUMNO

Lagi Berita