MARA Tarik Balik Premis Niaga Jika DiAliBabakan

BESUT 20 Nov. – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak teragak-agak menarik balik semua kemudahan premis perniagaan kepada peniaga Bumiputera jika mereka didapati tidak menggunakannya atau bertindak menyewakannya kepada orang lain tanpa pengetahuan agensi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata MARA kesal dengan sikap sesetengah peniaga yang bertindak menyewakan premis mereka, malah ada yang membiarkannya kosong.

“MARA tidak akan bertolak ansur lagi mengenai perkara ini kerana ramai lagi Bumiputera yang ingin berniaga, tetapi tiada tempat.

“Oleh itu, kami menimbang untuk memberikan kemudahan itu kepada mereka yang benar-benar berminat,” katanya selepas merasmikan majlis berkhatan dan bertindik di sini, semalam.

Idris berkata, peniaga Bumiputera perlu bersikap matang dengan mendalami ilmu dalam bidang perniagaan untuk lahir sebagai peniaga yang berjaya.

Beliau turut kesal dengan pelbagai alasan yang ditimbulkan oleh sesetengah peniaga Bumiputera yang menghadapi masalah kekurangan pelanggan di premis jualan mereka hingga sanggup berhenti berniaga.

Lagi Berita