Pelajar Pintar SPM Sakit Leukemia Tabah Ketentuan Ilahi

SEREMBAN 20 Nov. – Seorang pelajar pintar disyaki menghidap leukemia dan sedang terlantar di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bertekad mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun terpaksa menduduki peperiksaan di atas katil hospital mulai Selasa ini.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Jasin itu, Fateh Izani Ishak, 17, tidak menjadikan penderitaan dialaminya sebagai penghalang sebaliknya terus mengulang kaji pelajaran di hospital itu sejak dimasukkan pada Selasa lalu.

Fateh yang memperoleh keputusan 9A dan 1B dalam peperiksaan percubaan SPM tidak menyangka sakit sendi di kaki sejak sebulan lalu membuatkan dirinya terpaksa mengambil peperiksaan itu yang bermula Selasa ini di hospital.

Menurut anak kedua daripada empat adik beradik itu, sakit kaki yang kerap dialaminya itu menyebabkan dia menjalani pemeriksaan di salah sebuah hospital swasta di sini sebelum dirujuk ke HTJ.

“Selepas mendapatkan rawatan di hospital swasta berkenaan, doktor di hospital itu telah mengarahkan saya untuk mendapatkan rawatan lanjut di HTJ.

“Bagaimanapun, selepas menjalani ujian darah di HTJ, saya terkejut kerana doktor memberitahu saya bahawa sel darah putih di dalam tubuh melebihi sel darah merah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Fateh, dia dan keluarganya amat terkejut dengan berita itu memandangkan dirinya sebelum ini mempunyai rekod kesihatan yang baik.

“Berita ini amat mengejutkan saya kerana sebelum ini saya tidak pernah jatuh sakit seperti ini dan kalau hendak dikatakan ia faktor genetik, tiada ahli keluarga saya yang menghidap penyakit seperti ini.

“Apa pun saya reda dengan ketentuan ini dan tidak akan menjadikan ia sebagai penghalang untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM,” ujar pelajar yang berasal dari bandar ini.

Jelasnya, dia dijangka menduduki SPM di hospital berkenaan sehingga keputusan ujian ke atas sum-sum tulangnya diperoleh dalam tempoh terdekat ini bagi mengesahkan sama ada dia menghidap leukemia atau tidak.

“Saya dijangkakan mengambil SPM di atas katil ini dan saya berdoa agar dapat memberikan yang terbaik untuk mendapat 10A seperti yang diharapkan.

“Saya perlu tabah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjawab kertas soalan walaupun terpaksa melakukannya di atas katil,” ujarnya.

Lagi Berita