Pas Makin Terasa Bahang, Tak Mampu Pikul “Biawak Hidup”

KOTA BHARU, 22 Nov – Pas hari ini mungkin sedar daripada lamunan bahawa mereka sebenarnya tidak mampu lagi menggalas biawak hidup dan perlu berdiri dengan kaki sendiri untuk meneruskan perjuangan terutama bagi merealisasikan  mimpi menuju ke Putrajaya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof berkata atas kesedaran itulah, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa meluahkan perasaaan terpendamnya baru-baru ini agar Pas perlu mendekati orang-orang Melayu jika ingin ke Putrajaya.

Menurut beliau, kenyataan Hadi itu menimbulkan pelbagai persoalan terutamanya apakah beliau mula sangsi dengan kedudukan parti itu bersama rakan mereka yang lain iaitu PKR dan DAP di dalam barisan pembangkang.

“Apakah Hadi gusar dan bimbang dengan pelbagai kemelut yang melanda PKR dan DAP saban hari, ianya mungkin akan turut memberi tempias kepada mereka.

“Atau apakah Hadi takut DAP dan PKR akan mempermainkan mereka seandainya selepas ini jika ditakdirkan Allah mereka mendapat kuasa dan benar-benar menerajui negara,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap di majlis perasmian Seminar Pas Ganti UMNO dilaporkan berkata, Pas perlu berusaha meningkatkan sokongan orang Melayu jika ingin menguasai pemerintahan negara dan  kekuatan politik di negara ini terletak di tangan orang Melayu termasuk ahli-ahli UMNO.

Afandi yang juga Ketua Pemuda Rantau Panjang seterusnya berkata perkembangan tersebut juga boleh dilihat sebagai satu pemberontakan bawahan yang dimulakan sendiri oleh Presiden Pas.

“Dan mungkin juga Hadi selepas ini akan mengambil tindakan di luar dugaan dengan membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang sepertimana DAP yang keluar daripada Barisan Alternatif pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Tidak mustahil benda ini berlaku. Daripada menggalas biawak hidup, adalah lebih baik membawa diri. Kepada Hadi Awang, tepuk dada, tanya selera,” katanya. -MediaUMNO

Lagi Berita