PM: Berdialog Secara Intelek, Matang

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Rakyat Malaysia bertanggungjawab menjadi peneraju dalam menyebarkan suara kesederhanaan dan perbualan yang membina dalam laman-laman web sosial berikutan kadar penggunaannya yang tinggi di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, interaksi melalui ruang siber memberi gambaran mengenai diri sendiri sebagai seorang individu mahupun rakyat Malaysia.

“Kekuatan kita tidak boleh hanya terletak pada bilangan rakan atas talian yang dikumpul, tetapi terletak pada bilangan dialog yang intelek, matang dan terbuka bersama mereka.”

“Kekuatan kita tidak boleh hanya terletak pada bilangan rakan atas talian yang dikumpul, tetapi terletak pada bilangan dialog yang intelek, matang dan terbuka bersama mereka.

“Kita perlu menjadi peneraju dalam membimbing perhubungan melalui media sosial ke arah perbualan yang membina sama ada melalui Facebook, Twitter atau mana-mana laman web sosial yang menjadi pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk ‘Kepimpinan Kita Dalam Media Sosial Atas Talian’ yang disiarkan laman blognya www.1Malaysia.com.my.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, adalah diakui wujud kumpulan kecil yang menyebarkan ideologi dan kelakuan ekstrem melalui laman web sosial dan ia tidak boleh dibiar menenggelamkan suara sederhana dan wasatiyyah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terpengaruh untuk bertindak balas kepada provokasi kesat dan tidak matang dengan pendekatan yang sama.

Sebaliknya kata beliau, pendekatan yang menggambarkan integriti dan budaya sebagai rakyat Malaysia adalah kaedah terbaik untuk menangani kelompok berkenaan.

“Kita perlu mara ke depan, menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama bagi menyebar luas suara kesederhanaan.

“Ini merupakan satu ukuran kepada perkembangan kita ke arah membina mentaliti kelas pertama dan menterjemahkan semangat 1Malaysia dalam erti kata sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengalu-alukan pandangan rakyat mengenai usaha mempromosikan budaya atas talian yang sederhana dan cara untuk mengatasi kelakuan ekstrem dalam laman web sosial melalui perbincangan yang seimbang.

“Saya mengalukan perbincangan yang membina melalui laman web, Facebook dan Twitter saya. Diharapkan perkara sama dilakukan dalam ruang lingkup rangkaian sosial anda,” katanya.

Lagi Berita