PM: M’sia Boleh Jadi Jambatan Hubungan Komanwel-Asia Lebih Kukuh

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Malaysia berharap dapat bertindak sebagai jambatan kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara Komanwel dan Asia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan hubungan pelbagai budaya dengan Asia dan jalinan teguh dengan negara anggota Komanwel.

“Kita seharusnya meningkatkan penglibatan kita dengan organisasi di Asia. Marilah bermula dengan melibatkan Asean. Kita manfaatkan hubungan ini untuk meneroka kemungkinan bagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua organisasi ini,” kata beliau dalam ucaptamanya pada Forum Ketua-ketua Perniagaan Global 2010 di sini.

Najib berkata Asean, dengan hubungan pelaburan dan perdagangan yang penting dengan bahagian lain Asia dan usahanya sendiri dalam integrasi ekonomi serantau, membawa bersama kedudukan nilai yang ketara yang faedahnya boleh diraih anggota
Komanwel.

Sebagai sebuah kumpulan, Komanwel perlu menerima ekonomi yang lain beralih kepada usaha menggalakkan pasaran baru muncul, katanya.

“Harapan saya ialah forum ini akan menyediakan benih untuk perniagaan dalam kumpulan untuk membawa hubungan mereka ke paras yang mengeratkan kerjasama antara sektor swasta Komanwel dan Asia,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata negara anggota Komanwel boleh menyumbang lebih ketara kepada perdagangan dan pelaburan serta menyeru Majlis Perniagaan Komanwel melaksanakan susulan yang sewajarnya terhadap idea yang dijana semasa forum untuk negara
anggota.

Komanwel, persatuan 54 negara anggota yang pernah dijajah oleh pihak British di seluruh dunia, mempunyai jumlah penduduk sebanyak dua bilion dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) US$7.5 trilion atau 13 peratus jumlah KDNK dunia.

Najib berkata sejak 10 tahun lepas, dagangan intra Komanwel meningkat daripada US$2 trilion kepada US$3 trilion, menguasai 22 peratus jumlah dagangan dunia, manakala aliran pelaburan berkembang daripada US$80 bilion kepada US$180 bilion.

Beliau berkata terdapat potensi bagi dagangan intra Komanwel berkembang kepada US$5 trilion dan pelaburan mencecah US$250 bilion pada dekad akan datang.

“Dengan perkumpulan memasuki ulang tahun ke-80, terdapat keperluan untuk memanfaatkan kekuatan dalam komuniti yang dinamik ini bagi memperkasakan kedudukan masing-masing serta mengambil langkah untuk memperluaskan ekonomi kolektif mereka.

“Kita perlu melakukan sebagaimana nama kita, iaitu mewujudkan dan melebarkan kekayaan pada platform yang sama bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam semangat memakmurkan jiran,” katanya.

Antara sumbangan negara anggota Komanwel boleh lakukan ke arah perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kepada dagangan dalam rantau ini ialah dengan memanfaatkan aset negara-negara ini secara individu, kata Najib.

“Mereka juga boleh berkongsi amalan terbaik dalam tadbir urus dan menyediakan persekitaran yang baik untuk perniagaan berkembang,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata dengan 25 peratus dagangan Malaysia adalah dengan Asean, dagangannya dengan Komanwel menyumbang 22 peratus jumlah perdagangan global mereka.

Tahun lepas, perdagangan Malaysia dengan negara-negara Komanwel berjumlah US$63.4 bilion dan dari segi pelaburan sehingga Julai tahun ini, sebanyak 1,901 projek melibatkan penyertaan negara-negara Komanwel diluluskan dalam sektor
pembuatan di Malaysia dengan US$15.2 bilion dalam jumlah pelaburan.

Lagi Berita