Curi Pasir Di Selangor : SPRM Buka Enam Fail Siasatan Kes Rasuah

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka enam fail siasatan berhubung kes rasuah dan kecurian pasir di Selangor melibatkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata satu daripada fail itu merupakan siasatan umum mengenai KSSB, sementara lima lagi melibatkan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

SPRM, katanya,  akan melengkapkan siasatan itu tidak lama lagi sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Seperti saya maklumkan, dua (individu) sudah diambil tindakan di mahkamah, tidak payah ulang nama mereka, sebab dah diumumkan dalam surat khabar.

“Untuk makluman, apabila siasatan dimulakan oleh SPRM, banyak isu yang perlu dikenal pasti oleh SPRM seperti saksi dan dokumen berkenaan, dan ia juga berkait dengan pasaran (pasir),” katanya ketika menjawab soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lagi Berita