Jangan Seperti Tikus Baiki Labu – Najib

KUANTAN, 22 Nov – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti ‘tikus membaiki labu’.

Perdana Menteri berkata sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen wajar dipertahankan kerana ia telah berjaya membawa kepada keamanan, kestabilan politik dan aspirasi rakyat.

Perdana Menteri berkata sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen wajar dipertahankan kerana ia telah berjaya membawa kepada keamanan, kestabilan politik dan aspirasi rakyat.

“Untuk itu seluruh rakyat perlu terus mempertahankan sistem yang terbukti berkesan membawa ketabilan ini dan tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku ‘Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada’ tulisan Datuk Halim Ibrahim di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.

Penerbitan buku itu bersempena ulang tahun ke-80 keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar, dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen juga membolehkan pembangunan ilaksanakan secara terancang dan tertib dan sebagai hasilnya, taraf hidup rakyat berjaya dipertingkatkan hanya dalam tempoh 50 tahun.

“Kita juga berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan tinggi,” katanya.

Menurut beliau sistem berkenaan juga terbukti sebuah sistem terbaik yang ternyata keberkesanannya kerana ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat.

Katanya, lipatan sejarah di bawah sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen menunjukkan perjalanan negara ke arah sistem itu bersifat evolusi, bersandarkan muafakat dan berlatarbelakangkan ketertiban dan
ia berbeza dengan sesetengah negara di dunia yang melibatkan revolusi dan anarki.

Sementara itu, Najib berkata penerbitan buku itu membolehkan rakyat iaitu pembaca mengenali dengan lebih dekat tentang hati budi dan jiwa raga Sultan Pahang memandangkan ia dikarang oleh individu yang akrab dengan baginda.

Katanya, walaupun ia bukanlah buku yang pertama dan yakin bukan juga yang terakhir, namun ia tetap penting sebagai rekod tawarikh untuk teladan serta panduan bagi generasi hari ini dan akan datang.

“Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu, mahu pun berminat dengan sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah dan miskin semangatnya,” kata beliau.

Lagi Berita