Pembangkang Banyak Temberang, Cakap Tak Serupa Bikin

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan pakatan pembangkang boleh dilabel sebagai golongan yang ‘cakap tak serupa bikin’ kerana masih gagal mengotakan apa yang dijanji mereka ketika pilihan raya umum lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, di Selangor sendiri, beberapa janji telah diuar-uarkan pakatan itu sebelum ini namun tiada yang dikotakan.

Menurutnya, apabila berkuasa, mereka sering mencemuh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu sebagai kerajaan yang teruk tetapi apa yang berlaku kini, pakatan berkenaan dilihat jauh lebih teruk berbanding apa yang dilakukan BN.

“Kontroversi yang melanda dua agensi iaitu Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah cukup menampakkan Selangor semakin carca-marba.

“Begitu juga dengan kebebasan akhbar yang dilaungkan. Tetapi, mereka terus boikot Utusan Malaysia dan media lain. Mana slogan mereka dahulu?

“Kebebasan akhbar hanyalah apabila media menyokong mereka tetapi apabila dihentam, tindakan mereka adalah sebaliknya,” kata Noh ketika berucap pada program Selamatkan Selangor Darul Ehsan di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Satim Diman.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menguasai Selangor sendiri bukan sahaja gagal memerintah negeri itu tetapi turut gagal mengawal apa yang berlaku dalam parti.

“Orang PKR sendiri buat demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti. Ramai pemimpin mereka telah bertindak keluar parti dan kembali kepada BN.

“Hendak uruskan parti pun bermasalah, bagaimana hendak uruskan negeri?” soal beliau.

Justeru itu, Noh mengingatkan agar rakyat Selangor kembali kepada BN yang telah terbukti berjaya membangunkan Selangor tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Satim berkata, golongan muda yang mahu melangsungkan pernikahan kini boleh menuntut wang perbelanjaan daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas PKNS sebelum ini didakwa menghabiskan RM520,000 semata-mata untuk majlis makan malam sempena perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bulan lalu.

“Kalau dikatakan keadilan, sama rata, sama rasa, siapa yang hendak kahwin, tuntut kepada Menteri Besar Selangor. Kalau Angkasawan Negara dibiayai, mengapa tidak mereka yang lain juga?

“Begitu juga kepada suri rumah, anak-anak yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi dan warga tua yang dijanjikan akan menerima peruntukan. Mana perginya janji-janji itu? Semuanya bohong,” tegasnya.

Lagi Berita