Pengundi Muda Beri Isyarat Sedia Lakukan Perubahan Di Kelantan

KOTA BHARU, 23 Nov – Pemuda UMNO Kota Bharu optimis kejayaan penambahan ahli pergerakan itu lebih 60 peratus sehingga Oktober lalu mempunyai mesej yang positif kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemudanya, Rosmadi Ismail berkata berdasarkan beberapa pendekatan yang telah dilakukan jenteranya memperlihatkan golongan muda terutama pengundi baru sedia melakukan perubahan di negeri tersebut.

“Kita tidak mahu terlampau yakin tetapi mesej serta isyarat yang mereka berikan ternyata golongan muda ini sedia melakukan perubahan.

“Ini bukan retorik semata-mata kerana kalau kita lihat pada pilihanraya kecil di Manik Urai serta Galas baru-baru ini ternyata golongan pengundi ini bersama dengan kita”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi kejayaan menambah keahlian itu adalah hasil pendekatan serampang dua mata Pemuda sepanjang tahun ini iaitu mendekati golongan atas pagar di samping mengadakan pelbagai program bersama golongan muda.

“Selain program yang menepati selera golongan muda, kita juga telah mensyaratkan seorang ahli untuk mendapatkan sekurang-kurangnya lima orang ahli baru sebulan.

“Perkara ini akan dilakukan sepanjang masa”, ujarnya.

Tegasnya lagi tindakan berterusan untuk mendekati pengundi “atas pagar” serta golongan muda ini penting kerana mereka adalah penentu kemenangan parti pada pilihanraya umum akan datang.

“Justeru itu, kita akan terus mendekati mereka bagi membetulkan tanggapan mereka terhadap BN.

“Pada masa yang sama kita juga sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengemas jentera parti dan mendaftar pengundi baru sepanjang masa,” tambah beliau. -MediaUMNO

Lagi Berita