Tarikh Aidiladha : Tidak Perlu Wujud Kekeliruan

SEPANG, 23 Nov – Penetapan dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi tidak semestinya diterima pakai oleh negara lain kerana terdapat perbezaan waktu, matlak (tempat terbit dan terbenam matahari) serta kriteria penetapan awal hijrah yang digunakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sehubungan itu penentuan Hari Raya Aidiladha di Malaysia yang tidak sama tarikh dengan kerajaan Arab Saudi atau berbeza satu hari adalah disebabkan kerajaan Malaysia menetapkan tarikh itu mengikut rukyah dan hisab seperti penetapan awal puasa dan Hari Raya Aidilfitri, katanya.

“Perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-67 pada 16 Jun 1994,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik VIP, KLIA di sini hari ini.

Katanya umat Islam di Malaysia perlu menerima pakai pengisytiharan yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah iaitu 17 Nov lepas sebagai tarikh Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) manakala tarikh 18, 19 dan 20 Nov sebagai Hari Tasyrik.

Katanya pengisytiharan Hari Raya Aidiladha ditentukan berdasarkan kriteria penetapan awal bulan hijrah di Malaysia dan di negara anggota MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) sejak 1 Jun 1992.

Jamil Khir berkata kenyataan anggota Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub baru-baru ini yang mendakwa tarikh Aidiladha di Malaysia berbeza dua hari dengan tarikh di Arab Saudi adalah tidak benar kerana penentuan 9 Zulhijjah 1413 Hijrah ialah pada Selasa 16 Nov.

“Ia juga bertepatan dengan kriteria yang dipersetujui antara anggota MABIMS,” katanya.

Selain itu pada Isnin 15 Nov, umat Islam di Mekah masih mengerjakan wukuf dan tidak menyambut hari raya pada tarikh yang didakwa.

Berhubung puasa sunat pada 9 Zulhijjah, umat Islam di negara ini boleh melakukannya mengikut pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja iaitu pada 16 Nov mengikut kalendar Kerajaan Malaysia.

Katanya maklumat mengenai penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik boleh diperoleh di laman sesawang Jabatan Kemajuan Agama Islam iaitu  www.Islam.gov.my untuk memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul di kalangan umat Islam di negara ini.

Lagi Berita