Biarlah Anwar Ke Luar Negara, Orang Pun Dah Tak Percaya Dia

KEMAMAN, 23 Nov – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak luar semakin tidak percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dengan itu kerajaan tidak perlu bimbang dan menghalangnya daripada pergi ke luar negara bagi mengelak ketua pembangkang itu daripada terus menghina Malaysia.

Lagipun, kata bekas perdana menteri, jika Anwar dihalang ke luar negara, ini akan menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan, dan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai tuduhan.

“Kita tak patut halang dia keluar negara. Saya tak fikir kita patut takut kepada dia. Kita buat macam itu, orang lagi jadi marah kepada kita, benci kepada kerajaan. Nanti mulalah orang cakap kerajaan itu dan ini.

“Tak apalah, saya ingat orang lain pun tak percaya kepada dia dah, siapa nak percaya. Kalau saya, saya tidak peduli. Bukan orang itu yang nak mengundi, yang mengundi orang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) Berhad di Kemaman Supply Base kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini hari ini.

Dr Mahathir sebelum itu menyampaikan syarahan perdana bertajuk “Cabaran Umat Islam Pada Masa Kini” di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman anjuran Institut Pembangunan Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu yang dihadiri oleh hampir 5,000 orang kakitangan awam dan masyarakat sekitar.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam, beberapa penyokong kerajaan mencadangkan agar Anwar tidak dibenarkan ke luar negara bagi mengelak beliau daripada terus memburukkan Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata semakin kerap Anwar keluar negara untuk memburukkan negara sendiri, secara sendirinya Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mendapat imej yang negatif.

Dr Mahathir juga berkata sudah sampai masanya penyokong dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai Umno kerana terbukti PKR diwujudkan hanya untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata parti itu perlu dibubarkan dengan segera kerana kewujudannya hanya memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab memecah belahkan umat Islam perlu ditolak sama sekali daripada membiarkannya menjadi pemimpin sehingga membawa kepada pergolakan sesama umat Islam itu sendiri.

“Umat Islam harus bersatu dalam parti yang besar (Umno) yang selama ini banyak memainkan peranan membangunkan negara dan membela kebajikan rakyat.

“Takkan kita hendak pemimpin yang tidak tahu berbakti tetapi hanya tahu hendak menjadi Perdana Menteri. Sehubungan itu saya menyeru kepada penyokongnya agar bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan seperti kata pepatah Melayu,” katanya.

Menurutnya dengan pembubaran PKR, orang Melayu serta umat Islam diyakini akan kembali bersatu teguh dalam sebuah parti yang selama ini banyak memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata mana-mana parti kecil perlu kembali menyertai parti besar bagi mengukuhkan perjuangan orang Melayu yang kini terpecah kepada tiga kumpulan.

“Tidak pernah ada parti besar nak masuk parti kecil, parti kecillah yang masuk parti besar yang ada sokongan.

“Mereka (PKR) kata, ada 400,000 ahli tapi tak sampai 10 peratus pun yang ada. Ada pula bahagian hanya seorang sahaja ahli,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata kejayaan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi di Sabah pada 4 Nov lepas tidak harus dijadikan kayu pengukur untuk kerajaan mengadakan pilihan raya umum dalam jangka masa terdekat.

Katanya kerajaan Barisan Nasional masih mempunyai banyak masa untuk mengatur strategi meraih sokongan rakyat supaya lebih ramai rakyat kembali kepada parti itu.

“Kita dapat kemenangan di sesuatu tempat tidak boleh jadikan ukuran (sokongan). Faktor-faktor kemenangan BN di kawasan itu adakah sama dengan kawasan lain.

“Jadi saya fikir kepimpinan tahu tentang soal ini,” katanya

Mengenai desas desus kononnya pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya Sarawak pada awal tahun depan, Dr Mahathir berkata, Semenanjung masih mempunyai banyak masa dan tidak perlu terburu-buru untuk diadakan bersama.

“Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya tunggu dulu,” katanya.

Beliau berkata Sarawak tidak mempunyai pilihan kerana perlu mengadakan pilihan raya negeri tahun depan apabila mandat kerajaan sekarang akan berakhir.

“Tetapi di sini ada pilihan,” katanya.

Lagi Berita