Kulasegaran Mangsa Politik Rasis DAP Perak

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kegagalan Naib Presiden DAP, P Kulasegaran mempertahankan jawatan Timbalan Pengerusi DAP Perak pada pemilihan yang diadakan baru-baru ini membuktikan parti itu lebih menjurus kepada sesuatu kaum sahaja.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata apa yang berlaku itu mrmbuktikan lagi dakwaan bahawa DAP sebenarnya sebuah parti yang didominasi oleh kaum Cina bukanya parti pelbagai kaum seperti yang sering  dinyatakan oleh mereka.

“Itu kata mereka, parti untuk semua tetapi apa yang berlaku kepada Kulasegaran adalah itu bukti jelas DAP, walaupun pemilihan itu dilakukan secara demokrasi tetapi cara yang dilakukan oleh mereka berjaya menyingkirkan Kulasegaran dan kumpulan untuk bersama dalam kepimpinan parti.

“Semua ahli kumpulan Kulasegaran gagal dalam pemilihan itu, walaupun ada di kalangan mereka itu sudah lama dalam kepimpinan negeri, tetapi sebab mereka bersama Kulasegaran mereka juga turut menjadi mangsa kumpulan Ngeh bersaudara,“ katanya kepada umno-online.

Shamsul berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan Kulasegaran sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli DAP di Perak untuk mempertahankan jawatannya di peringkat negeri sedangkan dia memegang jawatan penting di peringkat pusat.

“Sikap yang ditunjukkan DAP itu bukan sahaja berlaku di dalam parti sahaja, dalam pentadbiran negeri juga perkara yang sama berlaku apabila orang India dan Melayu dibiarkan sahaja jika ada sebarang masalah membabitkan kaum terbabit.

“Ketika mereka perintah Perak sebelum diambil alih oleh Barisan Nasional, apa yang dia lakukan untuk kaum selain orang Cina, mereka masa itu hanya menumpukan di kawasan yang didiami oleh orang Cina sahaja,

“Walaupun  Menteri Besarnya orang Melayu dari Pas tetapi sebenarnya dia tidak ada kuasa kerana dibayangi oleh Ngeh bersaudara, itu sebab tiada pembangunan yang dirancang di kawasan orang Melayu apalagi orang India,” katanya,

Menurutnya, perkara yang sama turut berlaku di Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP, nasib kaum lain terus ditindas dengan pelbagai alasan termasuk kononnya untuk tujuan pembangunan.

“Kita lihat apa yang berlaku di Pulau Pinag sahaja, orang Melayu dan India terus ditekan, kawasan kediaman mereka diambil dengan alasan pembangunan, kes Kampung Buah Pala dan Balik Pulau adalah bukti yang jelas.

“Mereka yang terbabit cuba membantah tetapi tidak dipedulikan, malah menyalahkan kepimpinan yang terdahulu,” katanya.

Shamsul berkata, apa yang berlaku pada pemilihan DAP di Perak itu,  akan turut memberi kesan kepada pemilihan kepimpinan di peringkat pusat.

“Mungkin di peringkat pusat, ia tidak berlaku secara drastik seperti di Perak, takut nanti apa yang berlaku seperti di Perak boleh menyebabkan mereka akan kehilangan sokongan pada pilihan raya akan datang. Itulah modal mereka, parti pelbagai kaum tetapi dikemudi oleh satu kaum sahaja,” katanya.  -MediaUMNO.



Lagi Berita