Konvensyen BN Ditunda ke 4 dan 5 Disember

KUALA LUMPUR, 25 Nov. – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa konvensyen BN yang dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 November ditunda kepada 4 dan 5 Disember 2010.

Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah memutuskan penangguhan tersebut bagi menghormati kematian Tun Dr. Lim Chong Eu.

“BN amat prihatin dan turut berduka cita dengan kehilangan tokoh besar yang banyak melakar sumbangan terhadap perkembangan dan juga menjadi salah seorang antara pengasas Barisan Nasional,” katanya kepada umno-online.com.

Chong Eu meninggal dunia di kediamannya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, pada pukul 9.07, 24 November.

“Justeru, BN juga merakamkan takziah kepada keluarga mendiang, Toh Puan Goh Sing Yeng dan empat orang anak beliau.

“Dengan penangguhan Konvensyen ini, para pemimpin dan ahli-ahli kompenan Barisan Nasional akan dapat mengambil peluang bagi memberi penghormatan kepada mendiang,” katanya.

Tun Dr. Lim Chong Eu merupakan bekas Presiden MCA dan juga mantan Presiden Gerakan yang pertama selama 9 tahun. Beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun mulai Mei 1969 hingga Oktober 1990.

Beliau memberi sumbangan besar dalam memoden dan merealisasikan pembinaan dua mercu tanda Pulau Pinang iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Konvensyen yang akan mengumpulkan seramai 2,100 perwakilan tersebut akan membincangkan mengenai 1Malaysia, ekonomi, pembangunan, pendidikan, kebajikan dan kedaulatan undang-undang.

Lagi Berita