Cukuplah Anwar, Hentikan Politik Putar Belit – M.Kayveas

KUALA LUMPUR, 26 Nov. – Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk Dr. M.Kayveas membidas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus-terusan menggunakan pentas politik untuk merosakkan perpaduan negara.

Katanya, muslihat Anwar yang sanggup mempermainkan kerukunan dan kesejahteraan negara selain membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Cina dan India terhadap kerajaan menonjolkan keburukan kredibilitinya sendiri.

“Sikap Anwar yang sedemikian telah menjatuhkan dirinya sendiri sebagaimana yang berlaku dalam PKR apabila ahlinya sendiri tidak percaya terhadap apa yang beliau lakukan,” katanya.

Kayveas berkata demikian kepada umno-online.com sebagai mengulas pendedahan berkaitan perancangan Anwar bagi memporak-perandakan negara melalui perpecahan kaum.

“Masyarakat hari ini bukanlah bodoh atau menerima bulat-bulat apa saja yang diperkatakan oleh Anwar sebaliknya, generasi sekarang mampu membuat penilaian dengan bijak, memahami dan menghargai setiap yang ada untuk masa depan bersama.

“Anwar mahukan populariti dengan membangkitkan pelbagai perkara tetapi malangnya populariti tersebutlah yang telah menjatuhkan beliau sehingga tidak ada lagi yang mahu percaya kepada beliau,” tegasnya.

Tambahnya, apa yang dilakukan oleh Anwar menonjolkan ketidakmatangannya dalam berpolitik apabila hanya tahu memburuk-burukkan kerajaan, cuba mengelirukan rakyat dan menimbulkan kekeliruan.

“Saya sudah lama mengenali beliau, jadi saya minta cukuplah apa yang sudah beliau lakukan selama ini. Janganlah teruskan politik putar belit seperti mana yang dibuat selama ini,” katanya.

Ujarnya lagi, Anwar bersikap tidak adil bukan saja kepada anggota masyarakat tetapi juga sebagai ketua kepada ahli-ahli PKR yang menggunakan ‘keadilan’ sebagai istilah utama dalam parti mereka.

“Masyarakat kita cintakan kemanan dan kita semua menyelami Gagasan 1Malaysia hinggakan konsep ini menjadi contoh kepada negara-negara luar dan Malaysia dihormati di persada antarabangsa kerana keakraban kita dalam satu budaya,” katanya. – MediaUMNO

Lagi Berita