PKR Semakin Kelam Padah Politik Puak

KUALA LUMPUR, 26 Nov –  Penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menjangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus bergelut dalam kemelut dalaman mereka meskipun pemilihan parti itu berakhir Ahad ini.

Jelasnya kemenangan Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru sukar untuk menyelesaikan keadaan caca merba PKR kerana parti itu akan berdepan dengan senario politik yang berpuak-puak.

“Kita lihat kemenangan Azmin terutamanya termasuk lain-lain pemimpin terhasil dari proses pemilihan yang penuh aksi pelik, adegan tumbuk menumbuk, protes ahli dan sebagainya.

“Kita lihat kemenangan Azmin terutamanya termasuk lain-lain pemimpin terhasil dari proses pemilihan yang penuh aksi pelik, adegan tumbuk menumbuk, protes ahli dan sebagainya.

“Malah kemenangan mereka juga tidak boleh dibanggakan kerana tidak sampai 10 peratus ahli yang keluar mengundi.  Maknanya Azmin dan kumpulannya tidak mendapat sokongan padu atau sekurang-kuranga sokongan yang boleh dianggap selesa.  Ini akan menyukarkan mereka melaksanakan dasar-dasar parti”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tegas beliau lagi dalam mana-mana organisasi sama ada parti politik atau pertubuhan yang lain akan mendapat masalah sekiranya gagal mendapat sokongan 2/3 atau menghampiri  2/3 sokongan.

“Kedudukan mereka tidak stabil.  PKR akan berdepan politik puak yang akan menekan dan mengancam mereka termasuk mengadakan undi tidak percaya.

“Dapat dirumuskan jumlah yang mengambil bahagian dalam pemilihan yang rendah ini menunjukkan bahawa PKR sedang berhadapan dengan krisis kehilangan sokongan dan kekuatan dalaman”, ujarnya.

Beliau yang juga pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM) seterusnya berkata dalam keadaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus bergelut dengan masalah perbadinya, kegagalan Datin Seri Wan Azizah bertindak sebagai presiden dan kemenangan Azmin Ali yang penuh kontroversi bakal membuat PKR terus terumbang-ambing.

Ini katanya telah membuatkan rakyat terutama ahli serta penyokong mereka sendiri akan menilai kembali sokongan mereka terhadap hala tuju PKR.

“Dulu mereka mungkin terpesona dengan pelbagai janji yang indah-indah kononnya PKR sebagai parti alternatif kepada UMNO dan BN.

“Mereka mungkin mengimpikan satu pendekatan politik yang dilaungkan sebagai telus, bersih dan adil.  Tetapi apa yang berlaku menyebabkan mereka kecewa dan merasakan diri terpedaya”, ujarnya. -MediaUMNO

Lagi Berita