Mini Malaysia Di Sembrong

KLUANG 25 Nov. – Mini Malaysia. Itu yang sering dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi menggambarkan kawasan Parlimen yang diwakilinya itu setiap kali beliau ‘balik kampung’ dan ‘turun padang’.

Peratusan komposisi kaum di Sembrong hampir sama dengan negara iaitu kira-kira 53 peratus daripada penduduknya terdiri daripada Melayu, manakala hampir separuh lagi adalah masyarakat Cina, India dan lain-lain kaum termasuk Orang Asli.

Malah, Sembrong adalah kawasan Parlimen yang diterajui seorang pemimpin Melayu yang mengandungi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di bawah pemimpin masyarakat berketurunan Cina dan India iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Hoo Seong Chang dan ADUN Kahang, R. Vidyanathan.

Bukan sekadar persamaan daripada segi komposisi kaum, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan Sembrong menjadi model dan lambang perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya, perbezaan warna kulit, kaum dan agama tidak melemah atau memecahbelahkan komuniti di Sembrong sebaliknya perpaduan utuh berjaya mewujudkan kekuatan dalam perbezaan tersebut.

Sepanjang dua hari turun padang baru-baru ini, beliau banyak menekan peri pentingnya perpaduan dalam menjaga keharmonian dan keselamatan negara.

Aspek keharmonian dan perpaduan kaum jelas dapat dilihat pada majlis Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Sembrong yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Paloh apabila semua kaum membanjiri dewan itu bagi meraikan rakan-rakan mereka menyambut perayaan tersebut.

Hishammuddin yang memakai pakaian tradisional jeepa berwarna putih kelihatan mesra dengan senyuman yang menjadi ‘trademark’ beliau, malah langsung tidak kekok melayan dan bertanyakan masalah yang dihadapi pengunjung.

Paling menarik, dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji sikap pemimpin di kedua-dua DUN di bawah Parlimennya kerana mengamalkan semangat perpaduan yang tinggi apabila sanggup memperjuangkan nasib penduduk tanpa mengira kaum.

Beliau kagum dengan Seong Chang yang disifatkannya ikhlas berkhidmat untuk rakyat dengan turut memperjuangkan isu tapak kuil bagi penduduk beragama Hindu dan hak milik tanah pekebun yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

Hishammuddin berkata, sifat kepimpinan tersebut sewajarnya menjadi contoh dan ikutan kepada semua penduduk bagi memastikan perpaduan rakyat dapat dimantapkan seiring gagasan 1Malaysia.

“1Sembrong, 1Malaysia. Jika perpaduan dan keharmonian antara kaum dapat dimantapkan, keamanan dan kemakmuran negara dapat dikekalkan,” katanya.

“1Sembrong, 1Malaysia. Jika perpaduan dan keharmonian antara kaum dapat dimantapkan, keamanan dan kemakmuran negara dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau yakin, antara langkah terbaik untuk meningkatkan semangat perpaduan dan cintakan negara adalah menerusi penyertaan pelbagai kaum terutamanya golongan muda dalam unit sukarela seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Semasa Majlis Penyerahan Kad Keahlian Rela kepada 20 penduduk berketurunan Cina di Kampung Baru Sungai Sayong, beliau berkata, semangat sukarela dan ikhlas sangat dituntut dan perlu ditanam dalam sanubari setiap rakyat tanpa mengira kaum demi menjamin keselamatan kawasan kejiranan dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni yang turut sama dalam majlis itu supaya memantapkan usaha merealisasikan sasaran 30 peratus anggota Rela terdiri daripada kaum bukan Melayu.

Dalam pada itu, semasa menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Dewan Semarak, Felda Kahang Timur, Hishammuddin menyeru kaum Melayu kembali ke akar umbi dan hidup bersatu padu seperti yang diamalkan masyarakat kampung terdahulu.

Beliau yang berkain pelikat dan berbaju Melayu tanpa kekok, malah berselera menjamah makanan tradisional Jawa, nasi ambeng yang disediakan di dalam sebuah talam, berkongsi dengan tiga penduduk yang lain.

Menurutnya, makan bersama di dalam satu talam dapat mengeratkan hubungan sekali gus mewujudkan komuniti yang bersatu padu.

Katanya, hubungan erat dan perpaduan tentunya dapat dimantapkan lagi dengan kerja gotong-royong kesemua penduduk kampung bersama-sama menjayakan kenduri sekampung itu.

Di samping menekankan aspek perpaduan, Hishammuddin turut berjanji memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan melancarkan Pejabat Parlimen Bergerak menerusi penggunaan dua buah van jenis Toyota Hiace bagi memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan Parlimen sembrong.

“Kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak dapat datang ke pejabat Parlimen Sembrong untuk mengadu masalah, sekarang kami bawakan pejabat Parlimen ke rumah tuan-tuan dan puan-puan,” katanya selepas menepung tawar van khidmat masyarakat itu sebagai simbolik pelancaran pejabat bergerak Parlimen Sembrong di Kampung GSA, Chamek pada program pertama lawatannya.

Kombinasi perpaduan kaum dan keikhlasan pemimpin berkhidmat untuk rakyat di Sembrong menjadikan kawasan itu sebagai antara yang paling sesuai untuk menggambarkan hasrat atau matlamat mewujudkan wajah sebenar Malaysia yang hidup aman damai walaupun terdiri daripada pelbagai kaum.

Lagi Berita