Nasihat Yang di-Pertuan Agong, Elak Perpecahan Sesama Sendiri

SHAH ALAM 25 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar sentiasa bekerjasama dan mengelakkan perpecahan sesama sendiri.

Seri Paduka bertitah, mereka juga perlu memahami dasar dan pendekatan universiti agar sama-sama dapat memainkan peranan dan menyokong hala tuju UiTM.

“Beta percaya setiap individu itu mempunyai kekuatan atau keistimewaan tersendiri yang boleh membantu penambahbaikan universiti ini. Pihak pengurusan pula perlulah mengenal pasti kekuatan-kekuatan individu itu.

“Berusahalah untuk mendapatkan yang terbaik daripada modal insan tersebut,” titah Seri Paduka yang juga Canselor UiTM pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-73 UiTM di sini hari ini.

Hadir mengiringi Seri Paduka ialah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Naib Canselor UiTM, Prof Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Pada sidang hari ini Tuanku Mizan berkenan menyampaikan ijazah kepada 12 graduan Doktor Falsafah (PhD) dan 622 graduan Sarjana.

Seri Paduka turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Kejuruteraan Mekanikal kepada Prof. Datuk Dr. Mansor Salleh dan Ijazah Kehormat Dr. Kejuruteraan Elektrik kepada Datuk Ir. Dr. Ahmad Zaidee Laidin.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, UiTM sedang berusaha memperkemaskan strategi sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran menambah bilangan pelajar kepada 250,000 orang tanpa mengurangkan kualiti akademiknya.

Menurutnya, antara strategi yang sedang diusahakan adalah memperkasakan kampus-kampus cawangan di seluruh negara menjadi universiti yang berautonomi sendiri.

Beliau berkata, dengan perkembangan itu, kampus induk di sini akan memberi tumpuan lebih kepada penyelidikan dan pengajian di peringkat sarjana dan PhD.

“Langkah-langkah awal telah diambil dan kesannya kita dapat lihat pada hari ini di mana bilangan graduan di peringkat sarjana dan PhD kian meningkat,” katanya.

Lagi Berita