Muhyiddin: PKR ibarat ‘kapal hampir tenggelam’

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sanggup mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan konsep ketuanan Melayu bagi meraih sokongan masyarakat terhadap parti itu yang kini boleh diibaratkan seperti ‘kapal yang hampir tenggelam’.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap pemimpin PKR jelas membuktikan mereka tidak menghormati Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak orang Melayu dan bumiputera serta hak kaum lain.

”Kita lihat sekarang sudah ramai yang meninggalkan parti itu, banyak cabang dan ranting ditutup malah proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menggambarkan betapa simpang siur dan cacamarba parti itu.

”Kita lihat sekarang sudah ramai yang meninggalkan parti itu, banyak cabang dan ranting ditutup malah proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menggambarkan betapa simpang siur dan cacamarba parti itu.

”Dalam situasi di mana kapal hampir tenggelam, mereka akan buat apa saja kenyataan untuk menarik sokongan yang berbaki, kalau pun ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 bertema ‘Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan’ di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu semalam yang mahu konsep ketuanan Melayu dihapuskan supaya anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah’.

Ditanya kenyataan Wan Azizah dalam ucapan sama yang menyifatkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai anugerah Tuhan bagi memimpin rakyat negara ini, Muhyiddin berkata: ”Masya-Allah, anugerah Tuhan maksudnya manusia yang istimewa dan menjadi contoh serta teladan.

”Saya nak tanya Wan Azizah, mahukah dia rakyat Malaysia termasuk generasi muda mencontohi teladan, perwatakan dan amalan dalam PKR pimpinan Anwar yang nampaknya cakap tidak serupa bikin.”

Beliau berkata, dalam soal kepemimpinan dan politik, umum sudah tahu tentang sifat, perlakuan dan amalan Anwar yang sebenarnya.

”Saya tidak perlu sebut semua ini kerana masyarakat sudah tahu kes yang berlegar di sekitar Anwar. Saya tidak mahu mendahului mahkamah. Jadi, apakah ini anugerah Tuhan, bagi saya ia adalah takdir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Wan Azizah harus bersifat lebih realistik dalam memberikan pujian dan tidak harus melakukannya semata-mata kerana Anwar ialah suami yang disayanginya.

”Ucapannya ketika kongres berkenaan seharusnya melibatkan isu yang lebih daripada soal rumah tangga dan peribadi iaitu memberikan tumpuan kepada soal kepimpinan dan politik,” katanya.

Lagi Berita