Guna Tafsiran Al-Quran Untuk Kepentingan Politik & Peribadi Dilarang

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ulama Muda UMNO, Ustaz Fathul Bari Mat Jahya berkata penggunaan tafsiran Al-Quran bertujuan untuk kepentingan politik dan bersifat memenuhi kepentingan peribadi merupakan satu tindakan yang dilarang.

Menurut beliau semua pihak termasuk UMNO mahupun pembangkang bahkan sesiapa sahaja dari kalangan manusia dilarang sama sekali memperalatkan tafsiran al-Quran untuk kepentingan peribadi dan sebagainya.

“Jika niatnya benar ke arah kebaikan, ia diharuskan kerana Islam bukan hanya untuk satu bangsa sahaja tetapi untuk semua. Tetapi perlu diingat untuk kepentingan politik dan peribadi  ianya dilarang sama sekali,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi manusia tidak diutuskan Allah untuk menghukum niat seseorang lain, sebaliknya hanya Allah Maha Mengetahui niat seseorang umat itu.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sebagai mengulas tindakan perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK), K. Subramaniam ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh semalam yang mentafsir ayat 190 dan 191 surah Ali-Imran yang tunggang langgang dan keluar daripada konteks sebenar.

Tegas Ustaz Fathul lagi, mengikut pandangan Al Syeikh Muhammad bin Sholeh Al Uthaimin dalam buku penulisannya berjudul usul tafsir (prinsip-prinsip dalam mentafsirkan Al-Quran), perlu dibezakan dengan terjemahan perkataan demi perkataan berbanding makna secara umum.

“Terjemahan perkataan terus menyalahi tafsir sebenar kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat memberikan makna atau kehendak yang tepat bagi setiap perkataan kerana Al-Quran itu terdiri daripada ayat yang muhkamat (jelas maksud dan pengertiannya) dan ayat-ayat mutasyabihat (kesamaran penyertian).

“Maka tidak mungkin seseorang itu mendakwa dia mengetahui makna yang paling tepat bagi setiap perkataan dalam Al-Quran, sebaliknya kita diharuskan memberi terjemahan umum bagi ayat-ayat Al-Quran di samping mempraktikkan method tafsir Al-Quran yang sebenar.

“Antaranya menafsirkan Al-Quran dengan Al-Quran, menafsirkan Al-Quran dengan hadis, perkataan sahabat, tabi’in dan tabi’ taabi’in,” katanya.

Adapun tambah beliau lagi, apa yang diterjemahkan oleh perwakilan AMK itu jelas bercanggah dengan method tafsiran Al-Quran yang sebenar, di mana ayat 191-192 dikhususkan untuk orang-orang yang beriman dan mentauhidkan Allah, bukan selainnya.

“Al-Imam Ibnu Kathir berkata ketika menafsirkan ayat 191, surah ali ‘Imran: “Firman Allah, maksudnya: (Dan mereka berfikir tentang penciptaan langit dan bumi) bererti: Mereka memahami segala hikmah yang terdapat di langit dan di bumi, di mana ia membuktikan kebesaran Pencipta (Allah) dan kudrat-Nya, ilmu-Nya serta hikmah-Nya…”.

“Maka, mana mungkin kita meletakkan mana-mana ayat Al-Quran bukan pada penafsiran yang sebenar,” katanya.

Lagi Berita