PKR Dibidas Hipokrit Mahu Hapuskan Ketuanan Melayu

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Saranan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghapuskan konsep ketuanan Melayu sebenarnya merupakan satu tindakan hipokrit semata-mata, kata bekas pemimpin PKR Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Zahrain, bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang berkata cadangan PKR itu sesuatu yang pelik kerana Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dan Timbalan Perdana Menteri yang beria-ia memperjuangkan ketuanan Melayu.

“Sekarang dia menolak ketuanan Melayu dan membabitkan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Zahrain yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru berkata ketika Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau yang banyak memberi keistimewaan kepada kumpulan yang menjadi “kroninya” seperti pemberian saham.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail semasa Kongres Nasional parti itu Sabtu lepas, yang mahu konsep Ketuanan Melayu dihapuskan supaya anak Malaysia membesar dengan visi “bangsa bermaruah” atau “Melayu Bermaruah”

Kenyataan PKR itu turut menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam melahirkan rasa dukacita kerana terdapat segelintir orang Melayu yang mempertikaikan hak keistimewaan bangsa Melayu serta sanggup menggadaikan  perkataan Melayu itu sendiri untuk dilenyapkan dari dunia ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata Anwar sebenarnya telah mendapat banyak keistimewaan daripada konsep Ketuanan Melayu sehingga memberi banyak keuntungan seperti pembelian saham untuk disalurkan kepada kroni-kroninya.

“Kenapa nak mempertikaikan isu ketuanan Melayu sekarang? Selepas dia (Anwar), keluarga dan kawan-kawannya meraih banyak keuntungan daripada konsep ketuanan Melayu tersebut.

“Apa yang diperkatakan oleh pemimpin PKR sekarang untuk menghapuskan ketuanan Melayu ialah menggunakan pendekatan politik ‘cakap tak serupa bikin,” katanya.

Menurutnya sekiranya Anwar menganggap isu ketuanan Melayu yang didokong oleh Institusi Raja Melayu ini sudah tidak relevan, maka beliau sepatutnya menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterima dari Raja-Raja Melayu.

Lagi Berita