Titah Sultan : Rakyat Selangor Perlu Beri Perhatian Serius

KUALA LUMPUR 30 Nov – Rakyat Selangor perlu mengambil perhatian serius terhadap apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melahirkan rasa dukacita terhadap segelintir pihak terutama di kalangan orang Melayu yang sanggup mempersoalkan kedudukan serta keistimewaan orang Melayu termasuk institusi Raja-Raja Melayu.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor itu membuktikan kebimbangan baginda terhadap apa yang berlaku sekarang kerana dalam mengejar kepentingan politik ada di kalangan mereka yang sanggup memperjudikan kedaulatan serta keistimewaan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

“Saya dengar titah Sultan Selangor sendiri yang melahirkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku sekarang terutamanya di Selangor, apa yang lebih menyedihkan sikap segelintir orang Melayu sendiri yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja kita.

“Saya nak minta kepada rakyat Selangor mengikut kaedah-kaedah yang ada dalam perlembagaan, kita sebagai orang Melayu mempunyai adap sopan yang tinggi, oleh sebab politik kita sanggup melanggar apa yang telah dipersetujui oleh orang yang terdahulu,” katanya kepada umno-online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor yang merasa dukacita dengan sikap segelintir rakyat yang mempersoalkan hak serta kedudukan orang Melayu serta institusi Raja-Raja.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan, apa yang berlaku sejak kebelakangan ini  berpunca daripada sikap pihak pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan kepentingan politik mereka terus mendapat sokongan daripada rakyat.

“Sepatutnya isu-isu seperti ini sepatutnya tidak perlu diperbincangkan kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaan, dan ia menjadi paksi kepada perpaduan serta kesejahteraan hidup yang kita lalui selama ini.

“Hanya sejak akhir-akhir ini perkara sebegini yang berlaku, ini semua berpunca daripada pihak pembangkang yang cuba membangkitkan isu yang sepatutnya tidak harus diperkatakan secara terbuka. Mereka ini akan cuba sedaya upaya mengelirukan rakyat terutama generasi muda,” katanya.

Menurutnya, jika perkara sebegini dibiarkan ia boleh memberi kesan kepada apa yang dinikmati ketika ini sehingga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan kepada perpaduan yang sudah lama terbina di kalangan rakyat negara ini. –MediaUMNO

Lagi Berita