GAPS Serah Memorandum Penyelewengan Kerajaan PKR Selangor

SHAH ALAM, 1 Nov – Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) akan menyerahkan memorandum bantahan mengenai 30 penyelewengan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat dan Ahad ini.

Pengerusi GAPS, Hamizun Khairuddin memberitahu GAPS yang ditubuhkan dua bulan yang lepas, merupakan gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Belia Selangor, Perkasa Selangor, Gerakan Belia 4B Selangor, GPMS Selangor, Kesatuaan Pelajar Melayu Selangor termasuk persatuan-persatuan dari kaum Cina dan India di negeri itu.

“Kira-kira 2,000 orang akan menyertai perarakan menghantar memorandum tersebut kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan Jumaat ini.”

“Memorandum yang sama juga akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada Ahad ini selepas siri perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung di ibu negara iaitu di sekitar Masjid Jamek,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Tambahnya, memorandum itu menyenaraikan 30 penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh kerajaan Selangor termasuk isu pembaziran wang rakyat membeli hutang syarikat korporat Talam Corporation, merampas tanah hak rakyat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), salah guna wang oleh Yayasan Selangor dan kegagalan menguruskan bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata memorandum berkenaan juga akan disertakan dengan dokumen dan bukti bertujuan mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor supaya nasib rakyat di negeri ini tidak terus ditindas dan dirampas oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. -MediaUMNO

Lagi Berita