ICAPP: Najib Kongsi Pendekatan Sederhana Dengan Ahli Politik Asia

PHNOM PENH, 1 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka berkongsi pendekatan kesederhanaan yang diguna pakai oleh Malaysia dalam menangani ancaman ekstremisme ke arah mencapai keamanan dunia dengan pemimpin-pemimpin kanan parti politik dari Asia-Oceania di sini esok.

Perdana Menteri dijangka menyentuh perkara itu dalam ucap utamanya pada Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP), kata Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin.

Najib diberi penghormatan berucap kepada 353 pemimpin politik dari 53 negara di rantau Asia-Pasifik.

ICAPP, forum melibatkan parti-parti memerintah, pembangkang dan bebas di rantau ini, dibentuk pada tahun 2000 bertujuan antara lain untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara mereka.

Delegasi Malaysia termasuk Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Nik Mohamed Zawawi Salleh.

Najib dijangka tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor malam ini.

Selepas persidangan itu, Perdana Menteri akan merasmikan Kompleks Kedutaan Malaysia di Norodom Boulevard.

Kompleks berharga RM86 juta itu dibina oleh pemaju dari Malaysia pada 2008 dan siap mengikut jadual pada Oktober lepas.

Lagi Berita